KUALA LUMPUR: Lebih 87,000 orang ramai menandatangani Petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong: Najib Tidak Wajar Diampunkan digerakkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada Khamis.

Angka itu dilihat meningkat setiap minit, sejak petisyen yang disiarkan di Change.org sejak Rabu.

Pemerhatian Astro AWANI mendapati 87,608 telah menandatangani petisyen yang disasarkan mencapai 150,000 tandatangan.

Menurut Bersih, petisyen itu bagi meminta Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak menggunakan kuasa pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

 

Sementara itu, satu lagi referandum yang dilancarkan oleh penyokong Najib pula dilihat mendapat 1,167 tandatangan ketika ini.

Petisyen terbabit antara lain meminta Yang di-Pertuan Agong agar memberikan Pengampunan Diraja serta-merta terhadap Najib.



Malah referandum itu turut meminta agar Yang di-Pertuan Agong menitah Ketua Peguam Negara, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pengarah Pesuruhjaya Pencegahan Penggubahan Wang Haram (AMLA) SPRM untuk menghadap baginda berhubung bukti kes melibatkan Hakim Nazlan Ghazali.

Astro AWANI akan memberikan maklumat dari semasa ke semasa berhubung kedua-dua petisyen ini.