Mahkamah Rayuan di sini pada Jumaat memutuskan kaedah common law yang menetapkan tempat bermastautin isteri mesti mengikut tempat bermastautin suaminya adalah sah di sisi perlembagaan dan masih terpakai di Malaysia.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Balia Yusof Wahi, dalam keputusan sebulat suara, menolak rayuan bekas Ratu Cantik Malaysia Puan Sri Pauline Chai Siew Phin untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa mahkamah di Malaysia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar petisyen perceraian difailkan suaminya jutawan Tan Sri Khoo Kay Peng.

Hakim Balia berkata oleh kerana kaedah common law mengenai tempat bermastautin masih terpakai di Malaysia, ia terpakai ke atas Chai, dengan itu tidak membuka ruang untuk beliau memilih tempat bermastautin mengikut pilihannya.

Susulan keputusan itu, Khoo boleh meneruskan petisyen perceraiannya di mahkamah Malaysia.

Chai, 68, bekas Ratu Cantik Malaysia/Antarabangsa 1969, mahu mahkamah di England membuat keputusan dalam prosiding perceraian kerana beliau tidak lagi bermastautin di Malaysia sejak 1980 dan kini menetap di England. Bagaimanapun, suaminya mahu mahkamah di Malaysia membuat keputusan dalam prosiding perceraian mereka.

Chai, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Nov tahun lepas bahawa mahkamah itu mempunyai bidang kuasa untuk mendengar petisyen perceraian Khoo.

Panel Mahkamah Rayuan yang turut dianggotai Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer dan Datuk Abdul Rahman Sebli menolak rayuan Chai selepas memutuskan rayuan itu tidak mempunyai merit. Mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Mahkamah memerintahkan Chai membayar RM30,000 kepada Khoo sebagai kos perundangan.

Hakim Balia berkata mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan dikemukakan peguam mewakili Chai, Datuk Seri Gopal Sri Ram bahawa kaedah common law adalah tidak sah di sisi perlembagaan dan bercanggah dengan Perkara 8 (1) dan Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan kerana ia mencabuli hak Chai mendapat hak samarata di sisi undang-undang dan wujud diskriminasi gender.

Mahkamah enggan mendengar permohonan lisan dikemukakan pihak Chai bagi penangguhan keputusan Mahkamah Rayuan itu sementara menunggu permohonannya bagi kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan selesai, tetapi memaklumkan peguamnya Andrew Yong akan mengemukakan permohonan rasmi bagi penangguhan keputusan itu.

Khoo, 75, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi pengecualian keperluan untuk menghadap badan pendamai sebelum perceraian mengikut Seksyen 106 Akta Pembaharuan Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian).

Pada 11 Dis, 2013, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memutuskan Khoo tidak perlu menemui badan pendamai di London dan bahawa beliau boleh memfailkan petisyen perceraiannya di Malaysia.

Pada 22 April tahun lepas, Mahkamah Rayuan menghantar balik kes ke Mahkamah Tinggi bagi dibicarakan semula untuk menentukan bidang kuasa dan isu bermastautin selepas memutuskan bahawa terdapat banyak fakta yang dipertikaikan.

Pada 28 Nov tahun lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar petisyen perceraian difailkan Khoo.

Sementara itu, Chai memfailkan petisyen perceraian di sebuah mahkamah di London pada Februari 2013, menuntut pampasan perceraian sebanyak 500 juta pound (RM2.75 bilion) sebagai penyelesaian.

Pasangan itu mendirikan rumahtangga pada 1970 dan mempunyai lima orang anak yang sudah dewasa.

Chai dan Khoo tidak hadir di mahkamah hari ini. Bagaimanapun anak perempuan bongsu mereka Angeline Francis, 32, berkata beliau akan menyampaikan keputusan mahkamah kepada ibunya yang berada di luar negara.

Peguam mewakili Khoo, Datuk Dr C.V.Das berkata ini merupakan kali pertama kaedah common law dicabar di Mahkamah Rayuan.

Beliau berkata keputusan hari ini merupakan keputusan duluan dan pengesahan pendirian mahkamah bahawa kaedah common law adalah sah diguna pakai di negara ini.