KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) sedang memohon tambahan peruntukan RM100 juta bagi membantu menyelesaikan masalah air di Sabah.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, peruntukan itu adalah tambahan daripada RM300 juta yang telah diluluskan secara pinjaman oleh Jemaah Menteri pada 27 September tahun lepas.

Tambah beliau, empat projek baharu juga telah diluluskan di bawah Rolling Plan Keempat, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) berjumlah RM200 juta bagi penyelesaian jangka pendek isu bekalan air di negeri Sabah.

“Kementerian akan memastikan projek yang diluluskan dipantau secara berkala dengan mengadakan lawatan kerja dan mesyuarat di tapak oleh agensi yang bertanggungjawab.

“Selain itu, Kerajaan Negeri Sabah juga telah diluluskan peruntukan sebanyak RM163.55 juta di bawah RP4 bagi projek-projek sambungan.

“Bagi penyelesaian jangka panjang, Kerajaan Negeri Sabah boleh memohon di bawah Rolling Plan akan datang berdasarkan perancangan projek dan keperluan bagi menyelesaikan isu bekalan air di negeri Sabah.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Rabu bagi menjawab status bantuan Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Sabah dalam penyelesaian jangka pendek masalah air di negeri tersebut.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, Kerajaan Persekutuan bersedia untuk membantu kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah tersebut.

Menurutnya, cabaran utama di Sabah, selain Air Tidak Terhasil (NRW) yang kurang akibat paip pecah, kes kecurian air juga banyak dikesan berlaku di negeri tersebut.

“Kalau nak serah sebahagian kuasa mengurus air itu kepada Persekutuan supaya Persekutuan dan negeri dapat merancang apakah solusi keseluruhannya untuk bekalan air Sabah.

“Tapi lebih utama, cabaran di Sabah ialah di samping NRW disebabkan kebocoran paip, banyak juga berlaku kecurian, illegal extension ini yang perlu diambil tindakan.

“Kalau tidak, ia akan menjejaskan segala perancangan di peringkat negeri. Di peringkat Persekutuan, kita sedia untuk membantu.

“Bagi Labuan, sekarang Labuan berada di bawah Persekutuan. Cuma kalau nak buat loji air di Labuan, sumber air tidak mencukupi. Sebab itu mereka perlu ambil air dari tanah besar di Sabah,” ujarnya.