Skip to main content

Malaysia

PETRA teliti pembangunan telaga tiub sebagai pelan sokongan krisis air

GEORGE TOWN, 8 Jan -- Anak kariah Masjid Maqbul Teluk Kumbar, Zubir Harun menunjukkan sumber air yang diperoleh dari telaga tiub (air boring) di pekarangan masjid berkenaan, hari ini.
Anak kariah Masjid Maqbul Teluk Kumbar, George Town, menunjukkan sumber air yang diperoleh dari telaga tiub (air boring) di pekarangan masjid berkenaan. - Gambar hiasan/ Bernama

LIPIS: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) sedang menjalankan kajian pembangunan telaga tiub sebagai langkah persediaan menghadapi sebarang kemungkinan krisis air pada masa hadapan.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) menjalankan kajian bagi mengenal pasti sumber air baharu sebagai pelan sokongan sekiranya berlaku gangguan bekalan air.

Advertisement

“Ketika ini, kita berdepan cuaca yang tidak menentu dan taburan hujan yang rendah. Berdasarkan ramalan, cuaca panas dijangka berterusan hingga Ogos dan ini boleh memberi kesan kepada sumber air.

“Bagaimanapun, melalui usaha semua agensi terlibat, bekalan air di seluruh negara masih berada dalam keadaan terkawal. Namun, pengguna perlu memainkan peranan penting dalam mengurangkan pembaziran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Selamat Air Raya di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Pada 21 Mac lepas, media melaporkan Institut Air, Alam Sekitar dan Kesihatan Universiti Bangsa-Bangsa Bersatu (UNU-INWEH) memberi amaran dunia kini sedang memasuki era “kebankrapan air global”.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata penggunaan air di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan adalah lebih tinggi, iaitu sekitar 223 liter per kapita sehari berbanding penggunaan air yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira 165 liter per kapita sehari.

“Penggunaan air yang tinggi ini perlu dikurangkan, jika masyarakat tidak bersama-sama memainkan peranan, kita berdepan risiko berlakunya krisis air. Semua pihak perlu bertanggungjawab bagi memastikan perkara ini dapat dielakkan,” katanya.

Beliau berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) turut melaksanakan Program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) dengan sasaran capaian minimum sejuta pengguna di seluruh negara sepanjang 2026.

“Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kesedaran awam terhadap kecekapan penggunaan air serta kepentingan mengelakkan pembaziran bagi menjamin kelestarian bekalan air negara,” katanya.

Pada program itu, SPAN turut menyalurkan sumbangan wakalah zakat berjumlah RM104,000 kepada 200 pelajar sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi.

--BERNAMA 

 

 

Must Watch Video