Buat pertama kalinya Petronas melalui Badan Kebajikan Kakitangan Islam Petronas (BAKIP) menyampaikan sumbangan zakat kakitangannya berjumlah RM1.2 juta kepada golongan asnaf di seluruh negara tahun ini.

Pengurus Besar Petronas Wilayah Timur Mohd Hasnan Abdullah berkata, dari jumlah itu ia akan diagih-agihkan kepada enam wilayah Petronas iaitu Wilayah Persekutuan, Wilayah Utara, Selatan, Timur, Barat, Sabah dan Sarawak yang masih-masing diperuntukan sebanyak RM200,000.

"Untuk Pantai Timur, ia diagihkan kepada 1,000 penerima yang diagih melalui sekolah dan pusat-pusat pengajian termasuk sekolah-sekolah pondok di mana setiap pelajar akan menerima antara RM150 dan RM200 seorang bagi meringankan beban keluarga mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pengagihan zakat berkenaan kepada pelajar yang disempurnakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong di Insititut Teknologi Petronas (Instep) Batu Rakit di sini hari ini.

Mohd Hasnan berkata, bagi sumbangan zakat untuk pantai timur pula ia terbahagi kepada tiga zon iaitu Zon A melibatkan Kuala Terengganu, Kemaman dan Dungun (B) dan Kuantan (C).

Katanya, agihan bagi Zon B yang melibatkan Dungun dan Kemaman telah dibuat pada akhir Dis lepas manakala bagi Zon A yang melibatkan Kuala Terengganu, ia diagihkan hari ini manakala untuk Kuantan, Pahang akan dibuat pada minggu depan.

Beliau berkata Petronas, yang ditubuhkan pada 1974 itu, mempunyai kira-kira 50,000 kakitangan yang sedang berkhidmat di seluruh dunia manakala di Pantai Timur terdapat 7,000 kakitangan yang sedang berkhidmat di Kertih (Kemaman) dan di Instep (Batu Rakit).

Sementara itu, Mohd Zubir berharap dengan perkembangan semasa harga minyak, pada tahun depan Petronas akan dapat menyumbang dengan lebih banyak melalui wang zakat.

"Saya merasa kagum kerana Petronas memahami betapa pentingnya sistem zakat kepada kehidupan," katanya.

-- BERNAMA