Petroleum Nasional Berhad (Petronas) hari ini mengesahkan salah seorang kakitangannya telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan satu kes rasuah.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan, Petronas berkata penahanan itu dilakukan sejurus siasatan dalaman yang dilakukan terhadap kakitangan terbabit selesai yang kemudiannya dilaporkan kepada pihak SPRM.

“Pihak Petronas juga telah membantu penyiasat SPRM berkaitan kes terbabit sebelum penahanan dilakukan.

"Selain itu, Petronas juga telah bekerjasama rapat dengan pihak SPRM sejak tahun 2012 bagi mengekang segala bentuk salah laku dan rasuah bukan hanya dalam kalangan pekerja, tetapi dalam kalangan kontraktor serta pembekal perkhidmatan pihak ketiga," menurut kenyataan itu lagi.