MALAYSIA
PETROS tidak wajar jadi pengagregat tunggal gas di Sarawak - Zaid

Zaid berkata jika PETROS memonopoli pengagregatan gas, PETRONAS akan kehilangan daya saing komersial. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Peguam terkemuka, Datuk Mohd Zaid Ibrahim menegaskan bahawa PETROS, syarikat minyak dan gas milik kerajaan negeri Sarawak, tidak seharusnya diberikan peranan sebagai pengagregat tunggal gas di negeri itu kerana langkah sedemikian boleh menjejaskan daya saing komersial PETRONAS serta menggugat struktur persekutuan negara.
Ringkasan AI
- Zaid Ibrahim tegaskan PETROS tidak wajar diberi kuasa sebagai pengagregat tunggal gas di Sarawak kerana ia boleh jejaskan daya saing PETRONAS dan gugat struktur Persekutuan.
- Beliau sifatkan langkah itu sebagai berisiko tinggi dari segi legaliti dan politik, serta mencerminkan pemecahan sektor tenaga negara yang kini dipolitikkan dan dipertikaikan secara undang-undang.
- Zaid kemuka empat prinsip penstrukturan semula, termasuk menegakkan PDA 1974 dan menolak tuntutan RM10 bilion oleh Sarawak; isu dijangka dibincang lanjut dalam podcast bersama Hassan Karim.
“Jika PETROS memonopoli pengagregatan gas, PETRONAS akan kehilangan daya saing komersial, khususnya dalam sektor LNG dan margin hiliran.
“Lebih daripada isu legaliti, ini membuka ruang kepada penguasaan hasil persekutuan oleh negeri, sekali gus melemahkan asas Persekutuan,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Kenyataan beliau dibuat susulan pertikaian berterusan antara PETRONAS dan PETROS yang kini melibatkan tuntutan bertindih, tindakan mahkamah dan ketidakpastian peraturan.
Zaid turut merujuk kepada kenyataan yang dikaitkan dengan bekas Pengerusi PETRONAS, Tengku Razaleigh Hamzah yang menyuarakan kebimbangan bahawa syarikat minyak negara itu kini dijadikan alat tawar-menawar politik.
“PETRONAS, yang dahulunya dianggap sebagai ‘khazanah negara’, kini dilihat sebagai bidak politik.
“Imej yang dipancarkan ke luar negara ialah sektor tenaga Malaysia kini berpecah, dipolitikkan dan dipertikaikan secara undang-undang," kata Zaid.
Cadangan Penstrukturan Semula Persekutuan
Zaid menggariskan empat prinsip utama bagi menegakkan semula kejelasan dan kestabilan dalam tadbir urus petroleum negara:
- Menegakkan Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 sebagai undang-undang persekutuan yang memberi hak eksklusif kepada Petronas.
- Menolak peranan PETROS sebagai pengagregat tunggal gas di Sarawak.
- Menolak tuntutan tahunan RM10 bilion oleh Sarawak yang didakwa tidak mempunyai asas undang-undang persekutuan.
- Menyemak semula autonomi imigresen Sarawak, yang menurutnya boleh disalah guna terhadap kakitangan PETRONAS.
“Isu ini bukan soal undang-undang kerana undang-undang sudah jelas tetapi soal kemahuan politik.
“Seperti yang dibayangkan oleh Ku Li, PETRONAS sedang dijadikan alat untuk kelangsungan politik jangka pendek. Ini amat berbahaya," katanya.
Zaid dijadualkan membincangkan isu ini dengan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim dalam podcast beliau pada Khamis ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami