KANGAR: Sebilangan besar petugas barisan hadapan di Perlis yang terdiri daripada doktor, jururawat dan pengamal perubatan am sudah menerima suntikan vaksin COVID-19, sejak pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat negeri pada 1 Mac lalu.

Menurut Pengarah Hospital Tuanku Fauziah, Dr Othman Warijo, sehingga hari ini lebih 50 peratus petugas yang terdedah pada risiko COVID-19 telah menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech.

Bagaimanapun, kata beliau, tidak semua petugas barisan hadapan ditawarkan vaksinasi berkenaan bagi fasa pertama memandangkan jumlah yang diperuntukan di negeri Perlis terhad kepada 8,000 orang sahaja.

“Selagi mereka memberikan persetujuan (untuk disuntik) dan mereka tidak ada masalah-masalah lain yang menyebabkan mereka boleh dikecualikan, kita akan beri (suntikan).

“Setakat ini bekalan (vaksin) yang ada Insya-Allah mencukupi untuk semua warga kerja kita termasuklah kakitangan pembersihan (dan) kakitangan keselamatan," kata beliau.

Sementara itu, doktor dan jururawat yang saban hari berhadapan dengan pesakit COVID-19 berkata, suntikan vaksin yang diterima meningkatkan keyakinan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab untuk melandaikan angka jangkitan baharu di negeri Perlis.

Dalam masa sama, mereka turut menyarankan orang ramai supaya mendaftar seterusnya mendapatkan suntikan vaksin ini yang terbukti selamat.

“Walaupun kita dimaklumkan yang perlindungan untuk dos pertama ini hanya 40 peratus sahaja, sekurang-kurangnya kita ada perlindungan,” kata Ketua Jabatan dan Pakar Psikiatri dan Kesihatan Mental, Dr Rozita Jamaluddin.

Bagi Ketua Jururawat, Rosmira Ramli, dengan suntikan vaksin yang diterima, petugas barisan hadapan sepertinya berasa lebih yakin dan selamat untuk meneruskan khidmat kepada orang ramai.

“Sebelum ini, memang kita jaga penjarakan sosial, pakai mask dan hand sanitizer, tapi selepas dapat suntikan, kita rasa diri sudah cukup perlindungan, rasa selamat sangat. Jadi kepada semua yang belum menerima vaksin, dapatkanlah kerana ia untuk melindungi diri kita dan untuk semua orang,” kata Rosmira.

Senada dengan Rosmira, jururawat Azumarnie Che Seman berkata, suntikan vaksin itu merupakan perlindungan untuk semua orang dan tidak ada sebab kenapa ada sebilangan pihak yang perlu rasa takut dan bimbang untuk menerimanya.

Pada 28 Febuari lalu, Perlis menerima bekalan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech yang dihantar di empat Pusat Simpanan Vaksin bagi pelaksanaan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Empat lokasi terbabit adalah di Klinik Kesihatan Kampung Gial, Mata Ayer, Klinik Kesihatan Beseri, Klinik Kesihatan Felda Chuping dan Hospital Tuanku Fauziah.

Bagi fasa pertama, seramai 8,000 orang akan menerima suntikan vaksin dikuti 94,000 orang bagi fasa kedua dan 100,000 orang bagi fasa ketiga.