Skip to main content

Malaysia

Petugas wanita pusat pemulihan dadah direman, disyaki terima rasuah

Suspek wanita dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu bagi permohonan reman pada Isnin. FOTO: SPRM
Perintah reman enam hari hingga 7 Mac ini terhadap suspek dikeluarkan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini. - Gambar/ Sinar Harian

KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu hari ini mereman seorang penjawat awam wanita di sebuah pusat pemulihan dadah di negeri ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM6,000 sebagai balasan membawa masuk barang terlarang untuk penghuni pusat tersebut.

Perintah reman enam hari hingga 7 Mac ini terhadap suspek dikeluarkan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu selepas menerima permohonan daripada SPRM.

Advertisement

Menurut sumber, wanita berusia lingkungan 30-an itu ditahan bersama seorang lagi suspek lelaki yang juga penjawat awam dan bekerja di tempat yang sama kira-kira 12.30 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu.

“Bagaimanapun, suspek lelaki yang berusia lewat 40-an telah dilepaskan dengan jaminan SPRM hari ini atas faktor kesihatan. Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek melakukan perbuatan tersebut secara berasingan antara September 2024 hingga Januari 2025 dengan meminta dan menerima wang rasuah daripada keluarga penghuni pusat pemulihan tersebut.

“Kedua-dua suspek dipercayai telah menerima wang rasuah melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi masing-masing dan akaun peribadi pihak ketiga. Modus operandi yang digunakan ialah dengan membawa masuk barang terlarang melalui pembekalan makanan tengah hari,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata siasatan menyeluruh akan diteruskan bagi mengenal pasti sama ada terdapat individu lain yang turut terlibat dalam kegiatan itu. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found