NATIONAL
PGA gagalkan cubaan seludup 10 ekor lembu bernilai lebih RM100,000 di Pasir Mas

Sebuah lori yang dilihat dalam keadaan mencurigakan telah ditahan dan pemandunya cuba melarikan diri, namun berjaya diberkas anggota PGA. - Facebook Briged Tenggara PGA Rasmi
KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) mematahkan cubaan menyeludup masuk 10 ekor lembu dipercayai dari Thailand dalam satu operasi di Jalan Gelang Mas, Pasir Mas pada 30 April lepas, dengan nilai rampasan termasuk sebuah lori dianggarkan RM150,000.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata kejadian berlaku pada 4.20 petang, ketika sepasukan anggota menjalankan tugas dalam Op Taring Kandang.
"Sebuah lori yang dilihat dalam keadaan mencurigakan telah ditahan dan pemandunya cuba melarikan diri, namun berjaya diberkas anggota PGA.
"Pemeriksaan terhadap lori itu menemukan 10 ekor lembu, namun pemandu gagal mengemukakan sebarang dokumen pemilikan atau pengangkutan yang sah," katanya dalam kenyataan hari ini.Beliau berkata lembu berkenaan dipercayai diseludup dari Thailand melalui pangkalan haram dan sedang dalam perjalanan ke pasaran tempatan.
Dua lelaki tempatan berusia 38 dan 27 tahun yang berada dalam lori itu dipercayai bertindak sebagai penghantar haiwan terbabit.
"Siasatan juga mendapati pemandu tidak memiliki lesen memandu, manakala cukai jalan lori tersebut telah tamat tempoh.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala suspek serta barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut," katanya.
Beliau berkata, PGA komited mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan di sempadan negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami