KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 2,000 unit peranti rokok elektronik atau vape pakai buang bernilai RM160,000 di tebing Sungai Golok di bawah Jambatan Pulau Ular, Tumpat, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata rampasan dibuat selepas anggota yang menjalankan rondaan bermotosikal mengesan beberapa lelaki sedang memunggah kotak di situ.
“Lelaki tersebut melarikan diri ke negara jiran dengan menggunakan perahu semasa anggota terlibat cuba menghampiri mereka.
“Pemeriksaan ke atas beberapa kotak yang ditinggalkan menemukan 2,000 unit peranti vape itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes dirujuk kepada Pejabat Kesihatan Daerah Tumpat untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 10 Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
-- BERNAMA