TUMPAT: Sejumlah 541 ekor burung murai batu yang terancam dan dilindungi berjaya dirampas oleh sepasukan anggota Unit Strike Force Batalion 8, Pasukan Gerakan Am (PGA) petang semalam di Kampung Jubakar di sini.

Menurut Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8), Deputi Superintendan Ramesh Krishnan, rampasan burung murai itu dianggarkan bernilai RM571,500.00 di pasaran.

"Unit Strike Force Batalion 8,  yang menjalankan Ops Wawasan Kelantan telah membuat rondaan di kawasan kampung Jubakar, Tumpat, sekitar jam 4 petang semalam.

"Semasa membuat rondaan telah terserempak dengan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan. Pasukan 'strike force' terus menahan kereta tersebut. Hasil pemeriksaan  telah menjumpai 32 bakul-bakul plastik yang di dalamnya mengandungi burung murai batu, " katanya dalam satu kenyataan.

Hasil pemeriksaan lanjut didapati jumlah keseluruhan burung murai batu adalah sebanyak 541 ekor.

Jelasnya, kesemua burung tersebut dipercayai diseludup dari negara Thailand dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM571,500.

"Pemandu kemudiannya ditahan manakala kesemua rampasan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan). Kes disiasat mengikut Seksyen 60 (1) (a) Akta Perhilitan 1972," katanya.

Dalam pada itu, Ramesh turut memaklumkan sepanjang tempoh penugasan Ops Wawasan Kelantan yang dilaksanakan oleh Batalion 8 PGA bermula 26 Mei 2022 sehingga 29 Mei lepas, pihaknya telah berjaya merampas barangan terlarang dengan nilai keseluruhannya RM2,058,060.

"Nilai tersebut melibatkan 9 kes rampasan dengan 12 tangkapan," katanya.

Beliau berkata PGA akan terus mempertingkatkan serta mengetatkan kawalan sempadan dengan memantau pangkalan-pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bermula dari Rantau Panjang sehingga ke Pengkalan Kubor bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin dan jenayah rentas sempadan.