Skip to main content

Bisnes

TERAJU Ke JPM, buka ruang pelaksanaan agenda bumiputera lebih luas

 Ikqwan Lee
Akmal Nasrullah berkata, Kementerian Ekonomi akan terus memainkan peranan penting dalam memantau perjalanan agenda Bumiputera termasuk memastikan pelaksanaan inisiatif di bawah PuTERA35 berjalan mengikut sasaran yang ditetapkan. - Foto Ikqwan Lee

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan meletakkan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dilihat sebagai langkah strategik untuk mempertingkatkan pelaksanaan agenda pembangunan bumiputera negara.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, penstrukturan semula itu membuka ruang yang lebih luas kepada TERAJU untuk memperkasa peranannya dalam memastikan sasaran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) dapat dicapai dengan lebih berkesan.

Menurut beliau, pelbagai asas dan program pembangunan bumiputera telah dibangunkan sejak beberapa tahun lalu, justeru fokus kini adalah memastikan pelaksanaan inisiatif tersebut diterjemahkan kepada hasil yang nyata.

“Ini merupakan satu pengiktirafan kepada Kementerian Ekonomi yang telah menyusun fokus TERAJU sejak dua hingga tiga tahun lalu.

“Blok-blok asas sudah ada, program telah disusun. Sekarang semuanya mengenai pelaksanaan.

“Dengan meletakkannya di bawah Jabatan Perdana Menteri, ia membuka ruang yang lebih luas untuk TERAJU terus mengukuhkan peranannya,” katanya pada sesi sidang media majlis penyenaraian ELSA Berhad di Pasaran ACE Bursa Malaysia, di ibu negara, pada Selasa.

Akmal Nasrullah berkata, Kementerian Ekonomi akan terus memainkan peranan penting dalam memantau perjalanan agenda bumiputera termasuk memastikan pelaksanaan inisiatif di bawah PuTERA35 berjalan mengikut sasaran yang ditetapkan.

Beliau turut menegaskan bahawa fokus utama kini adalah memastikan pelbagai program yang dirangka mampu diterjemahkan kepada pencapaian yang memberi impak langsung kepada pembangunan ekonomi bumiputera.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan TERAJU yang sebelum ini dipantau Kementerian Ekonomi kini dipindahkan menjadi agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi memantapkan pemantauan program pembangunan bumiputera, khususnya inisiatif di bawah PuTERA35.

Menurut Anwar, sehingga kini pencapaian keseluruhan PuTERA35 telah mencecah 64.6 peratus dengan 160 daripada 493 program yang dirancang berjaya dilaksanakan.

Beliau berkata, langkah itu merupakan kesinambungan usaha memperkasa institusi bumiputera yang sebelum ini turut menyaksikan pemusatan Pelaburan Hartanah Bumiputera (PHB) dan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB).

Pada masa sama, Akmal Nasrullah menyifatkan kejayaan ELSA Berhad yang disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia sebagai antara bukti keberkesanan ekosistem pembangunan syarikat bumiputera yang diterajui TERAJU.

ELSA merupakan antara 20 syarikat bumiputera generasi baharu berpotensi tinggi yang dikenal pasti untuk dibimbing ke arah penyenaraian di Pasaran ACE dan Pasaran Utama Bursa Malaysia menerusi Dana Pemilikan Strategik Bumiputera (BSAF), selaras dengan aspirasi PuTERA35.

Tambah Akmal Nasrullah, penyenaraian ELSA sebagai IPO ke-32 Malaysia tahun ini membuktikan syarikat bumiputera semakin bersedia untuk berkembang, bersaing dan menerajui sektor ekonomi bernilai tinggi.

Beliau berkata, kejayaan itu juga diharap dapat menjadi inspirasi kepada lebih banyak syarikat bumiputera untuk meletakkan sasaran lebih tinggi termasuk menembusi pasaran modal sebagai platform pertumbuhan jangka panjang yang mampan.

Must Watch Video

Advertisement