Sangkaan apabila pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pihak berkuasa mengurangkan langkah pengawalan di sempadan negara antara Malaysia / Thailand oleh penyeludup nyata meleset.

Ini terbukti hasil kejayaan pasukan Batalion 1 Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi empat siri rampasan daun ketum selama dua hari dalam ‘Op Covid’.

Menurut Pegawai Pemerintah Batalion 1 PGA, Supritendan Abdul Aziz Abdullah, melalui tiga rampasan yang dilakukan pada Isnin, sejumlah 3,360 kilogram berjaya dirampas dengan nilai anggaran RM100,800.

Katanya, serbuan pertama dilakukan pada pukul 5 pagi di Ladang Sawit Berhampiran Pos C 32, Padang Besar, menemui 30 guni berisi daun ketum yang ditinggalkan di dalam hutan.

Sementara serbuan kedua dilakukan pada pukul 8.15 pagi di sebuah pondok di dalam kebun getah di Jalan Kubang Keladi, Padang Besar.

Dalam serbuan itu, pihaknya berjaya merampas 41 guni putih sarat berisi daun ketum dengan berat 1,230 Kilogram.

Manakala serbuan ketiga yang dilakukan di kebun getah dekat Kampung Padang Tebuan, menemui 41 kampit guni berisi daun ketum.



Tidak ketinggalan, serbuan keempat yang dilakukan di Jalan Keselamatan Sempadan kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi pula menemukan sejumlah 200 kilogram daun ketum dengan nilai anggaran RM6,000.

PGA juga, jelas beliau, turut menemukan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipercayai diginakan penyeludup untuk membawa muatan daun ketum.

Beliau berkata, kesemua daun ketum yang dirampas di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Kata Abdul Aziz, kegiatan menyeludup keluar daun ketum ekoran permintaan tinggi daripada negara Gajah Putih itu susulan kerajaan Thailand tidak membenarkan penanaman pokok ketum di negara itu.