KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak merampas 657,050 kilogram (kg) produk makanan sejuk beku pelbagai jenama bernilai RM13.3 juta dalam Op Taring Bravo di sekitar Kemena Industrial Estate, Bintulu, semalam.

Komander PGA Briged Sarawak SAC Che Gazali Che Awang berkata serbuan pada 8 pagi dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak serta Jabatan Agama Islam Sarawak Bahagian Bintulu itu, turut menahan dua lelaki tempatan berusia 55 dan 70 tahun.

"Hasil pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 47,500 kotak mengandungi pelbagai bahagian daging ayam seperti sayap, paha, hempedu, dada dan sosej.

"Turut ditemukan 5,500 kotak mengandungi pelbagai bahagian daging lembu seperti daging, tulang dan perut serta 1,900 kotak daging khinzir," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua produk makanan sejuk beku pelbagai jenama itu disimpan dalam ruang pembekuan di tiga buah bilik sejuk beku di premis berkenaan dipercayai tidak mempunyai permit import yang sah.

Che Ghazali berkata pemilik premis itu telah dikenakan kompaun oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak Bahagian Bintulu dan barangan telah dirampas untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 9(1) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999," katanya.

-- BERNAMA