KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki bersama sebuah lori yang membawa 15 ekor lembu pedaging tanpa dokumen lengkap dalam Ops Taring Wawasan Kelantan di Kampung Chabang Empat, Chetok, Pasir Mas, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan dilakukan pada 2.30 petang oleh sepasukan pegawai Strike Force Kompeni B, Batalion 7 PGA Kuantan yang sedang menjalankan rondaan di kawasan tanggungjawab Jeram Perdah sebelum mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata, pasukan itu kemudian menahan lori berkenaan di tepi Jalan Pasir Mas-Tanah Merah sebelum pemeriksaan mendapati pemandunya gagal mengemukakan dokumen lengkap berkaitan ternakan yang dibawa.
"Seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun ditahan bagi membantu siasatan. Turut dirampas sebuah lori jenis Hino dan 15 ekor lembu pedaging dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM340,000.
"Kes itu diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata, siasatan awal mendapati suspek membawa lembu berkenaan dari sebuah kandang di Kampung Palas Merah, Wakaf Bharu, Tumpat dan menerima upah RM250 bagi setiap penghantaran.
-- BERNAMA