KOTA BHARU:Seorang wanita sanggup menyembunyikan sejumlah dadah jenis syabu dan pil Erimin 5 di dalam pakaian dalamnya semata-mata bagi mengelak dikesan polis selepas ditahan bersama sepupu lelakinya dekat Tumpat, hari ini.

Menurut Pegawai Pemerintah Batalion Kesembilan Pasukan Gerakan Am (PGA9) Supt Nor Azizan Yusof, lelaki berusia 25 tahun dan wanita berusia 26 tahun itu ditahan pada pukul 12.45 tengah malam berdekatan Kampung Kubang Batang, Tumpat di dalam sebuah kereta jenis Honda Jazz oleh sepasukan anggota risik yang membuat rondaan.

Beliau berkata kenderaan suspek ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan yang dikatakan sering berlaku kegiatan pengedaran dadah sekitar Wakaf Bharu dan Pengkalan Kubor.

"Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas suspek lelaki polis menemui wang tunai berjumlah RM898 dan pemeriksaan di dalam kenderaan tidak menemui apa-apa barang salah.

Pemeriksaan ke atas suspek wanita pula menemui beberapa paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat enam gram dan kerajang-kerajang mengandungi pil disyaki dadah jenis Erimin 5 sebanyak 25 biji, dianggarkan bernilai RM975 yang disembunyikan di dalam pakaian dalam wanita itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Nor Azizan berkata, ujian saringan air kencing suspek lelaki didapati positif dadah jenis methamphetamine manakala suspek wanita positif amphetamine.

"Semakan rekod lampau mendapati suspek lelaki pernah ditahan berkaitan dadah pada 2016. Susulan tangkapan ini satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Chabang Empat, Tumpat untuk tindakan lanjut," katanya.

Nor Azizan berkata, kedua-dua suspek telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat dan kes disiasat dibawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

-- BERNAMA