Pakatan Harapan (PH) Johor daripada Amanah, DAP dan PKR akan memohon mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar secepat mungkin kerana mendakwa mereka mempunyai jumlah kerusi mencukupi bagi menerajui kerajaan negeri.

Pengumuman terbaharu daripada PH Johor itu sekali gus meletakkan kedudukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor tergantung dengan kedudukan 28 kerusi oleh gabungan baharu dan 28 kerusi oleh Pakatan Harapan.

Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan mendakwa PH Johor menegaskan bahawa mereka mempunyai sokongan daripada 28 ADUN.

“Ia membabitkan sembilan dari Parti Amanah Negara (Amanah), 14 dari DAP, lima dari PKR ada dan hadir pada himpunan malam ini.

“Sehubungan dengan itu Gabungan Baharu tidak mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan,” katanya.

BACA: Gabungan baharu bentuk kerajaan di Johor - Istana Johor

BACA: Gabungan baharu Johor tiada sokongan majoriti - PH Johor

BACA: UMNO, Bersatu bentuk kerajaan negeri Johor

Sidang media tersebut diturut dihadiri oleh ADUN Pemanis, Dr Chong Fat Full yang sebelum ini dikatakan akan menyertai gabungan baharu namun membuat pusingan-u dan menyokong Pakatan Harapan.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal sebelum ini berkata gabungan tersebut akan berbincang bagi mencadangkan nama calon Menteri Besar baharu dalam masa terdekat.

Gabungan kerajaan negeri Johor yang baharu akan dibentuk oleh UMNO, MIC, Bersatu, Pas dan serta beberapa ADUN daripada parti lain yang tidak dimaklumkan.

Dalam perkembangan sama Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata hasil perbincangan bersama ADUN PH Johor persetujuan dicapai bagi melantik penyelaras PH Johor iaitu Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan.

"Malam ini merupakan satu peristiwa penting untuk negara dan negeri Johor ketika sedang berlakunya kemelut politik.

"Selepas Bersatu keluar daripada PH, kita ( PH Johor) perlu bincang antara tiga parti iaitu Amanah,DAP dan PKR untuk menentukan perjalanan parti selepas ini.

"Sebab itu kita lantik Aminolhuda sebagai penyelaras PH Johor kerana ini penting kerana kita memerlukan seseorang yang boleh menyelaras aktiviti PH Johor," katanya.

Setakat ini hanya Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang yang mengambil sikap berkecuali dan menunggu arahan dari Bersatu pusat berhubung keputusannya sama ada untuk menyokong PH Johor ataupun gabungan baru di negeri ini.

ADUN Puteri Wangsa itu berkata, beliau menunggu arahan daripada pusat terutamanya daripada Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad.