Pakatan Harapan (PH) Melaka menamakan bekas Ketua Menteri, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil, Adly Zahari sebagai Ketua Pembangkang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

PH Melaka dalam satu kenyataan di sini hari ini, memaklumkan, perkara itu dipersetujui sebulat suara menerusi mesyuarat dalam talian yang diadakan semalam, bersama 11 ADUN PH.

"Persidangan Pertama, Penggal Ketiga, DUN Melaka yang ke-14 akan berlangsung pada 11 Mei ini untuk sehari. Ia persidangan DUN yang pertama selepas krisis politik dan pertukaran kerajaan pada Februari lepas," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa PH Melaka akan kekal komited untuk berkhidmat kepada rakyat dan negeri, terutamanya dalam situasi wabak COVID-19.

Sebelum ini, jawatan Ketua Pembangkang DUN Melaka dipegang oleh Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir yang juga bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Perikatan Nasional Melaka berjaya mendapat 17 kerusi ADUN iaitu 13 Barisan Nasional, dua Bersatu dan dua bebas, berbanding 11 kerusi bagi PH iaitu tujuh DAP, dua Amanah dan dua PKR. - BERNAMA