Sebagai sebuah parti gabungan yang berdasarkan kepercayaan dan rasa menghormati, Pakatan Harapan (PH) tidak memerlukan penyertaan parti Pas dalam gabungan mereka.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, sebarang cubaan memasukkan Pas mestilah berdasarkan prinsip konsensus atau kesepakatan yang perlu disetujui bersama antara ahli gabungan.

"Buat masa ini, PH utuh dan tidak perlukan Pas sebagai rakan sekutu. Kalau ada sebarangan idea dan percubaan memasukkan Pas, ia mesti berasaskan prinsip konsensus, bukannya majoriti.

“Jadi saya tengok buat masa sekarang, perkara itu hanya satu khabar politik biasa dan saya tidak nampak sebab serta alasan untuk PH sekarang ini menerima keanggotaan baharu," katanya.


Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna mengulangi keyakinan yang diluahkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa PH tidak akan menjadi kerajaan sepenggal.

"PH di sini sebagai sebuah kerajaan yang bekerja dan berfungsi serta kukuh. Sehingga PRU (Pilihan Raya Umum) akan datang, kami percaya dan tidak akan meremehkan kebijaksanaan rakyat.

"Fokus kami sekarang adalah untuk melaksanakan komitmen dan janji kita kepada rakyat dan rakyat akhirnya adalah hakim yang terbaik," tambah beliau.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pelancaran Pusat Pengumpulan dan Agihan Program Food Bank Malaysia, pada Selasa.

Pusat pengumpulan dan agihan itu yang terletak di Kajang, merupakan yang pertama di Lembah Klang dan sudah mula beroperasi sejak Disember lalu.