KUALA LUMPUR: Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kini berada dalam landasan tepat untuk mencapai sasaran 50 peratus populasi negara menerima vaksin lengkap menjelang 31 Ogos nanti.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kini lebih 40 peratus populasi dewasa di seluruh negara telah menerima vaksinasi lengkap manakala lebih 50 peratus populasi telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Tambah beliau, jumlah pemberian vaksin pada Julai juga mencatatkan angka memberangsangkan dengan 12 juta dos diberikan pada Julai, lebih baik daripada 8 juta dos direkodkan pada Februari hingga Jun tahun ini.

BACA: COVID-19: 20,546 kes baharu, Selangor tertinggi dengan 7,307 kes

“Berdasarkan pendaftaran vaksinasi pula, 81 peratus daripada individu yang telah mendaftar telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

“Menerusi usaha yang sedang giat dilaksanakan, angka yang disebut ini akan terus meningkat dari sehari ke sehari.

“Tetapi angka yang akan terus meningkat ini bukan hanya sekadar angka di atas kertas tetapi angka ini datang bersama satu impian dan harapan seluruh rakyat Malaysia bahawa kesan vaksinasi terhadap kesihatan awam akan mula dirasai,” katanya.

BACA: Kuala Lumpur capai imuniti kelompok, siap-sedia beralih ke Fasa 3 PPN - Annuar

Beliau berkata demikian menerusi satu rakaman video yang dikongsikan di laman Twitter beliau dan kepada media pada Ahad.

Sementara itu, mengambil contoh Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, Khairy berkata usaha dilakukan selama ini telah mula menunjukkan hasil seperti yang diharapkan di kedua-dua kawasan itu.

“Sehingga kini lebih 56 peratus populasi di Sarawak dan 60 peratus populasi di Labuan telah menerima vaksinasi lengkap.

“Walaupun varian Delta juga menular di Sarawak dan Labuan, kita menyaksikan kadar jangkitan di wilayah ini adalah terkawal, kemasukan ke hospital juga semakin rendah dengan kadar keperluan ICU telah menurun sehingga 60 peratus di Sarawak dan 100 peratus di Labuan.


COVID-19 | 44.5 peratus individu dewasa lengkap dua dos vaksin pada Sabtu

“Lebih utama, kematian akibat COVID-19 juga turut dapat dikurangkan di kedua-dua wilayah ini,” ujarnya.

Tambahnya, selepas ini vaksin juga akan diberikan kepada bukan warganegara termasuk pelarian serta individu di penjara dan pusat tahanan kerana tegasnya, tiada yang selamat sehingga semuanya selamat.


Vaksin COVID-19 | Demi kesihatan, wajibkan vaksin perlu?

“Kita ketika ini berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran ditetapkan. Apabila semakin ramai terima vaksin, lebih banyak sektor ekonomi boleh dibuka dan lebih ramai dapat menjalani kehidupan lebih baik.

“Janji saya, menjelang Oktober nanti, kita akan selesai pemberian vaksin kepada semua penduduk dewasa di Malaysia dan kita akan dapat pulihkan negara,” katanya.