KUALA LUMPUR: Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berjaya melepasi sasaran 80 peratus penduduknya lengkap divaksinasi apabila 85 peratus penduduk dewasanya menerima dua dos vaksin setakat hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia menjadikan Kuala Lumpur sebagai wilayah kedua selepas Labuan yang mencapai sasaran itu.

"Kuala Lumpur pada hari ini telah berjaya melengkapkan 80 peratus dua dos iaitu 85 peratus daripada jumlah penduduk dewasa di Kuala Lumpur. Kita telah meletakkan sasaran 80 peratus dua dos di Kuala Lumpur menjelang akhir Ogos, namun dengan kerjasama semua kita telah mencapai 85 peratus pada hari ini selepas Wilayah Persekutuan Labuan yang mencapai 80 peratus imuniti kelompok daripada jumlah penduduk dewasa iaitu pemberian vaksin dua dos," katanya semasa membuat pengumuman itu di Rumah Prihatin di Hotel Grand Season di sini pada Ahad. 

Ujarnya, ia merupakan suatu perkara yang sangat membanggakan dan tidak mungkin akan dapat dicapai tanpa kegigihan barisan hadapan, petugas di pelbagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Wilayah Persekutuan.

"Seperti yang kita tahu, ada 196 PPV termasuk enam PPV mega, satu PPV mobile, satu PPV pandu lalu,  satu PPVACC, 155 PPV Klinik Swasta, 25 PPV di hospital Swasta, 3 PPVIN dan 4 SPPV yang telah melaksanakan 2,568,340 populasi dewasa Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan dos vaksin pertama dan 1,545,395 lagi telah lengkap menerima kedua-dua dos vaksin.

"Walaupun trend kes harian di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur masih lagi menunjukkan
peningkatan, namun peratusan kes tertinggi yang dilaporkan semalam adalah daripada kategori 1
dan 2 iaitu 2,001 kes (96.0%) selebihnya, iaitu 4.0% atau 78 kes adalah dalam kategori 3, 4 dan 5.
Dengan adanya imuniti kelompok bilangan kes yang melibatkan kontak rapat dalam kalangan
komuniti dapat dikurangkan," ujarnya.

Ia turut memberi harapan kepada Kuala Lumpur untuk beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara seperti Labuan.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada penilaian dan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Melalui kejayaan ini, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur boleh membuat persiapan untuk beralih
ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara supaya kegiatan ekonomi boleh kembali beroperasi seperti sedia kala secara berperingkat selaras dengan lebih daripada 40 peratus penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah menerima dos lengkap vaksin," tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Annuar berkata, pihaknya bercadang untuk membuka lebih banyak aktiviti ekonomi dan sosial di Kuala Lumpur dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Untuk tujuan itu, saya bercadang untuk membentuk satu jawatankuasa yang terdiri daripada wakil-wakil rakyat, Ahli-ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan tanpa mengira parti politik untuk membantu Wilayah Persekutuan menggubal strategi-strategi pemulihan secara keseluruhannya.

"Kuala Lumpur perlu membuat persiapan untuk ada semakan semula kepada semua prosedur dan semua kawalan aktiviti supaya mempunyai catalyst agar kita dapat melipatgandakan pertumbuhan Kuala Lumpur  sebab kita perlu bersaing dengan negara lain," tambahnya.