KUALA LUMPUR : Seramai 79,393 kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 jenis Comirnaty (Pfizer BioNTech) dari 3 hingga 10 Februari lalu. 

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pemberian vaksin kanak-kanak dilaksanakan di pelbagai Pusat Pemberian Vaksinn (PPV) iaitu di hospital, klinik kesihatan, PPV Integrasi dan PPV off-site.

"Pencapaian tertinggi adalah di Selangor; 28,661 kanak-kanak, diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya; 17,887 kanak-kanak, Sarawak 17,877 kanak-kanak, Sabah 4,962 kanak-kanak, Melaka 3,425 kanak-kanak dan Negeri Sembilan 2,728 kanak-kanak," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat. 

Pada masa ini, Jabatan Kesihatan Negeri telah mengenal pasti 1,055 buah sekolah yang akan menjadi PPV PICKids dan akan menjadi pusat pemberian vaksin kepada murid di sekolah tersebut dan murid daripada sekolah-sekolah berdekatan.

"Adalah dijangka jumlah PPV sekolah akan bertambah dari semasa ke semasa. Kesemua PPV sekolah akan mula beroperasi selewat-lewatnya 14 Februari 2022 di seluruh negara," ujarnya lagi. 

Bagi pemberian vaksin di sekolah, senarai nama kanak-kanak yang layak akan disediakan oleh pihak sekolah dan ia akan dilaksanakan oleh pasukan kesihatan sekolah atau pengamal perubatan swasta.

"Ibu bapa atau penjaga yang mempunyai aplikasi MySejahtera perlu mendaftar kanak-kanak sebagai
tanggungan dalam MySejahtera bagi mendapatkan janji temu vaksin dan sijil digital vaksinasi manakala ibu bapa atau penjaga yang tidak mempunyai aplikasi MySejahtera tidak perlu bimbang kerana tarikh dan lokasi janji temu akan dimaklumkan melalui pihak pengurusan sekolah," tambahnya. 

Kementerian Pendidikan juga katanya telah bersetuju untuk membantu mengatur janji temu secara berkelompok untuk vaksinasi di sekolah atau di pusat vaksinasi yang telah dikenal pasti oleh
pihak Pejabat Kesihatan Daerah dan Pejabat Pendidikan Daerah bagi melancarkan pelaksanaan vaksinasi COVID-19.

"Sebagai langkah mengelakkan kesesakan di PPV, hanya salah seorang ibu atau bapa atau penjaga dibenarkan menemani kanak-kanak untuk tujuan vaksinasi.

"KKM menasihatkan ibu bapa memastikan kanak-kanak yang akan divaksinkan mendapat rehat pada malam sebelumnya, bersarapan pagi dan meminum air secukupnya sebelum ke PPV. Ibu bapa perlu mengawasi anak-anak supaya tidak melakukan aktiviti lasak bagi tempoh 7 hari selepas menerima vaksin," ujar beliau lagi.