KUCHING: Program Vaksinasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids) di Sarawak telah menyumbang sebanyak 40 peratus peningkatan jumlah pemberian vaksin dos pertama negara.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, setakat 9 Februari 2022, daripada 62,809 kanak-kanak yang telah menerima suntikan di seluruh negara, 12,301 daripadanya dicatatkan di Sarawak.

“Jumlah kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun yang layak untuk diberi vaksin di Sarawak ialah seramai 286,000 iaitu 10.1 peratus daripada jumlah populasi di Sarawak dan setakat 9 Februari, peratus liputan dos pertama vaksinasi dikalangan kanak-kanak di negeri ini adalah seramai 12,301 orang iaitu sebanyak 4.1 peratus.

“Sarawak negeri yang ke hadapan dalam negara hari ini malah pencapaian Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) adalah 4.6 peratus sedangkan Sarawak melonjak 4.1 peratus dan saya difahamkan semalam peningkatan negara 40 peratus adalah datang dari negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja pelaksanaan PICKIDS di Klinik Kesihatan Batu Kawah, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus mensasarkan 70 peratus kanak-kanak yang layak dalam sistem pendidikan diberikan dos pertama dalam tempoh dua bulan ini.

Jelasnya, Pihak Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (CITF-C) akan berusaha untuk memperkasa PICKids melibatkan pusat pemberian vaksin (PPV) sekolah selewat-lewatnya 14 Februari ini.

“Dalam pada itu kita juga akan mensasarkan sehingga 80 peratus daripada jumlah keseluruhan kanak-kanak ini menerima dos pertama iaitu enam bulan dari tempoh peaksanaan.

“Kita akan fokus kepada PPV sekolah, maka selepas mesyuarat CITF-C esok pagi, kita akan keluarkan satu kenyataan berhubung pelaksanaannya yang dijangka mulakan di seluruh negara selewat-lewatnya 14 Februari ini,” katanya.

Setakat 8 Februari, Sarawak telah mencapai peratus liputan dos 1,876,285 orang ataupun 91.9 peratus populasi dewasa 18 ke atas dan juga 259,923 orang ataupun 88.7 peratus bagi remaja 12 hingga 17 tahun.

Untuk keseluruhannnya, 75.8 peratus populasi di negeri ini telah menerima suntikan lengkap dos vaksin sementara 84 peratus mereka yang layak telah menerima dos penggalak.