KUALA LUMPUR: Tiada lagi vaksin Pfizer dan Sinovac yang akan ditawarkan secara percuma oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) tamat pada 31 Mei ini.

Pengurus Program Vaksin ProtectHealth, Dr. Hue Hwa Ching berkata, bagaimanapun bagi kanak-kanak yang baharu sahaja memasuki usia 5 tahun pada atau selepas tarikh tersebut masih boleh mendapatkan suntikan vaksin pertama dan kedua di PPVGP atau klinik swasta.

"Bagi mereka yang mahu mendaftarkan anak mereka ketika ini masih sempat dan boleh melakukannya secepat mungkin dan membuat janji temu melalui aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan tarikh pemberian vaksin sebelum 31 Mei ini," katanya kepada Astro AWANI.

Kesemua senarai PPV bagi suntikan PICKids boleh disemak di laman web protecthealth.com.my bagi memudahkan urusan mereka.

Jelasnya lagi keputusan untuk menamatkan program tersebut hujung bulan ini adalah disebabkan sambutan yang kurang memberangsangkan dari kalangan ibu bapa di negara ini selain tarikh luput vaksin yang semakin hampir.

BACA: Tarikh akhir PICKids dilanjutkan ke 31 Mei

"Saya ingin mengingatkan ibu bapa supaya mendaftarkan anak mereka dan mendapatkan vaksin sebelum 31 Mei ini. Kanak-kanak yang tidak divaksin berisiko dua kali ganda (dijangkiti) berbanding mereka yang telah divaksin," katanya.

Sebelum ini, KKM memutuskan untuk melanjutkan tarikh akhir pemberian vaksin dos pertama COVID-19 bagi kanak-kanak menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) dari 15 Mei kepada 31 Mei.