KUALA LUMPUR:Pihak berkuasa diarah menggunakan budi bicara memberi kebenaran kepada penduduk yang tinggal di kawasan sempadan untuk merentas daerah dan negeri bagi mencari barang keperluan asas atau melakukan urusan penting.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana ada kes-kes terpencil di mana penduduk perlu melakukan perjalanan rentas daerah atau negeri atau melebihi jarak yang dibenarkan iaitu 10 kilometer (km).

"Jadi saya harap pihak polis jika melihat kes-kes seperti ini, gunakan budi bicara untuk membenarkan (penduduk merentas negeri atau daerah).

"Sebagai contoh, jika penduduk (di sempadan) hendak keluar ke bandar di dalam daerah atau negeri sendiri mungkin jaraknya lebih 10 km. Tapi bandar yang terletak di daerah atau negeri jiran lebih dekat, mungkin tiga km sahaja. Lebih baik mereka ke tempat yang tiga km itu.

"Walaupun rentas daerah dan negeri kita larang di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi kerana melihat keadaan dan keperluan... kes-kes terpencil seperti ini, maka saya harap pihak polis membenarkan," katanya dalam sidang media, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas desakan penduduk Ulu Bernam, Selangor agar kerajaan membenarkan mereka memasuki pekan Tanjong Malim, Perak kerana jarak yang lebih dekat berbanding ke pekan Kuala Kubu Bharu.

Menerusi pelaksanaan PKP, kerajaan melarang aktiviti merentas negeri dan pergerakan penduduk hanya dalam radius 10km.

Jelas Ismail Sabri, kerajaan menyedari bahawa insiden-insiden sedemikian kerap berlaku kepada penduduk yang tinggal berdekatan dengan sempadan negeri lain.

"Juga di kawasan Negeri Sembilan yang bersempadan dengan Johor, lebih dekat pergi ke bandar Segamat dari pekan lain, sebagai contoh," katanya.