Pihak berkuasa Sweden telah memberi kebenaran kepada wakil ahli keluarga untuk menemui empat anak pasangan warga Malaysia yang ditahan di Sweden untuk siasatan kerana memukul tangan salah seorang anak yang tidak bersolat.

Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin berkata kebenaran dan persetujuan itu diperoleh hari ini hasil usaha berterusan wakil Kedutaan Malaysia mendapatkan kerjasama pihak-pihak di negara berkenaan.

"Semua orang harus faham kita perlu mematuhi undang-undang yang ketat dan kita tidak mahu mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.

"Ia sudah mula longgar selepas kita pujuk dan layan mereka," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pasangan suami isteri, yang merupakan kakitangan Tourism Malaysia di Stockholm dan guru yang bercuti tanpa gaji, ditahan pada 18 Dis lepas dan tahanan reman mereka dilanjutkan kira-kira dua minggu lagi.

Hamzah berkata perkembangan positif itu diharap memberi kelegaan kepada keluarga tersebut kerana sememangnya kementerian berusaha keras menjaga hal ehwal dan kebajikan semua rakyat Malaysia di luar negara.

"Apa yang kita harapkan anak-anak itu sentiasa sihat, dapat pergi balik sekolah selamat, dapat makanan yang baik dan situasi ini tidak jejaskan psikologi mereka," katanya.

Dalam pada itu, Hamzah berkata Khidmat Sosial Sweden juga menyambut baik cadangan Wisma Putra untuk memindahkan kesemua empat anak pasangan itu ke keluarga Islam yang sanggup menjaga mereka.

"Kita telah beri nama-nama keluarga Islam tersebut. Jabatan Kebajikan itu memberikan respons positif tetapi perlu menunggu keputusan dan kebenaran dari pendakwa raya bila-bila masa.

"Bagi kita, itu sudah mencukupi dan lega kerana diharap nanti kanak-kanak itu dapat duduk dengan keluarga Islam," katanya.

Hamzah turut menjelaskan, keputusan meletakkan kanak-kanak itu di bawah jagaan keluarga bukan Islam dilakukan kerana itu sahaja keluarga yang mampu dan mahu jaga mereka sewaktu kes tersebut mula berlaku.

Ditanya mengenai ada usaha sesetengah pihak untuk membawa balik kesemua kanak-kanak itu pulang ke tanah air, Hamzah berkata semua diminta bersabar, tenang dan tidak mempolitikkan isu berkenaan.

"Untuk bawa pulang pun perlu kebenaran dari ibu bapa dan wakil ahli keluarga mereka. Banyak details orang tidak faham. Kita sendiri hendak selesaikan ini dengan baik kerana libatkan kerajaan dan keluarga tersebut," katanya.