JELEBU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa mana-mana individu yang didapati bertanggungjawab terhadap kerugian Tabung Haji (TH) berdasarkan penemuan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang didedahkan hari ini, akan dibawa ke muka pengadilan.
Beliau berkata sebarang unsur penyelewengan, penipuan dan salah guna kuasa yang dikenal pasti akan disiasat secara menyeluruh oleh pihak berkuasa berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara.
“Orang yang bertanggungjawab menyebabkan kerugian dan penipuan, salah guna kuasa akan disiasat oleh polis, SPRM, Bank Negara ... semua akan disiasat.
“Kalau ada bukti, (akan) didakwa (di mahkamah). Biar masuk mahkamah (untuk dibicarakan) dan biar masuk penjara (jika disabitkan bersalah), tidak ada masalah, itu aturan negara ini,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Minum Petang Bersama-Sama PMX di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah di Simpang Durian, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Chennah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.