Pihak Istana Selangor telah melabelkan kenyataan anti-istana yang dilemparkan sesetengah pihak ekoran krisis Menteri Besar Selangor sebagai 'menjejaskan' dan 'menyakitkan hati'.

Menurut laporan The Star, mengungkap kata-kata seorang sumber rapat kepada istana, pihak istana tersinggung dengan serangan berterusan oleh pihak tertentu.

"Istana telah berdiam tetapi orang ramai terus membuat kenyataan berbau anti-istana.

"Kenyataan seperti itu menyinggung perasaan. Orang-orang ini perlu membaca perlembagaan negeri dan memahami konvensyen istana, protokol dan tradisi sebelum membuat sebarang komen terhadap situasi yang berlaku.

"Peguam tertentu dari parti-parti politik pula diupah untuk mentafsir beberapa perkara menurut apa yang pelanggan mereka mahu," kata sumber tersebut kepada The Star.

Pada Selasa, Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah menangguhkan penerimaan peletakan jawatan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan meminta setiap parti dalam Pakatan Rakyat mencadangkan lebih daripada dua nama sebagai calon menteri besar baru.