SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyebabkan pencemaran bau di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi di Port Dickson, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata tindakan pihak tidak bertanggungjawab melepaskan sisa berjadual telah mengakibatkan sebahagian besar penduduk Port Dickson mengalami gangguan bekalan air kerana LRA tersebut terpaksa dihentikan sementara sejak semalam.

Aminuddin berkata pihaknya menerima aduan bahawa air yang diproses berbau diesel, kemudian Badan Kawal Selia Air (BKSA) dan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) dengan bantuan agensi penguat kuasa lain digerakkan bagi mengatasi perkara tersebut.

"Kita sedia maklum pencemaran di LRA Sungai Linggi amat mendukacita, akibat itu sebahagian besar Port Dickson tidak mendapat bekalan air. Perkataan yang sesuai untuk mereka (pihak tidak bertanggungjawab) adalah 'biadap' kerana menyusahkan ramai rakyat.

"Pada pagi ini, LRA tersebut mula beroperasi secara berperingkat namun sedikit masa diperlukan di Chuah dan Lukut, kerana kawasan itu berada di penghujung, dan memberi kesan bekalan air ke kawasan itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Aminuddin berkata BKSA, SAINS serta Pejabat Daerah dan Tanah Seremban sedang giat meninjau sepanjang sungai tersebut selain menyiasat kilang dan kediaman berhampiran bagi mengesan punca berlakunya pencemaran itu.

"Pagi tadi agensi terlibat telah menjalankan siasatan namun masih tidak dapat menjumpai punca tersebut, saya arahkan supaya pergi ke kawasan kilang dan kediaman berhampiran yang difikirkan boleh mendatangkan masalah," katanya.

Semalam dilaporkan bahawa operasi LRA Sungai Linggi terpaksa dihentikan buat sementara waktu selepas terdapat aduan air di muka sauk LRA tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan berkata Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah memasang oil boom di muka sauk loji sebagai langkah pencegahan minyak diesel memasuki LRA tersebut.

-- BERNAMA