KAJANG: Kerajaan mengalu-alukan penglibatan pihak swasta untuk membangunkan tanah Perbadanan Aset Keretapi (RAC) di sepanjang jajaran landasan kereta api negara seperti pembangunan Stesen Kereta Api Kajang 2.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata ini kerana Stesen Kereta Api Kajang 2 dibina berkonsepkan pembangunan berasaskan transit dengan kaedah perkongsian awam-swasta yang dilaksanakan dengan kerjasama Srijang Kemajuan Sdn Bhd (SKSB).

"Stesen transit berkonsepkan pembangunan di Kajang 2 tidak melibatkan perbelanjaan daripada kerajaan dan ia dibina pihak swasta yang secara pulangan mendapat hak untuk bangunkan tapak tanah itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Stesen Kereta Api Kajang 2 di sini hari ini.

Menurut Loke stesen berkenaan yang dibina melalui pajakan tanah rizab kereta api membolehkan RAC berupaya memiliki sebuah stesen kereta api bernilai RM60 juta pada nilai semasa, selain lapan buah kiosk dan ruang niaga yang boleh disewa dengan kadar berpatutan.

Pada majlis perasmian itu, beliau turut mengumumkan tambang komuter percuma selama tiga hari bermula esok hingga Ahad untuk setiap perjalanan satu hala dari Stesen Kereta Api Kajang 2 ke mana-mana destinasi lain.

Loke dalam pada itu turut meminta Rapid Bus dan Smart Selangor menjadikan stesen tersebut sebagai antara hentian untuk mengambil dan menurunkan penumpang.

"Penyediaan jaringan pengangkutan awam yang baik akan menggalakkan orang ramai menggunakan Stesen Kereta Api Kajang 2 sekali gus menggalakkan penggunaan pengangkutan awam oleh masyarakat setempat," katanya.

Stesen berkenaan yang mula beroperasi 13 Mac lepas, berkemampuan mengendalikan 146,000 penumpang setahun dan dilengkapi kemudahan 500 tempat letak kenderaan, jejantas pejalan kaki dengan lif, enam eskalator, fasiliti mesra orang kurang upaya (OKU), kawasan pengawasan keselamatan di lokasi strategik, kawasan menurunkan penumpang dan kemudahan asas seperti tandas, surau dan platform berbumbung.

Terdahulu, Loke dalam ucapannya menyarankan para pemaju memberikan perhatian kepada keperluan mewujudkan perumahan mampu milik terutamanya di kawasan yang berhampiran dengan hab pengangkutan seperti stesen kereta api.

Beliau berkata langkah itu bukan sahaja dapat membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah, tetapi dalam masa sama menjimatkan perbelanjaan mereka melalui penyediaan akses kepada pengangkutan awam.

"Kawasan perumahan dekat dengan pengangkutan awam akan menambah nilai projek tersebut," katanya.

-- BERNAMA