Skip to main content

Malaysia

Pijak al-Quran: Permohonan maaf bukan maksud lepas tanggungjawab undang-undang - ABIM

41715932271_TBAbim.jpg
Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata lebih mendukacitakan kerana insiden itu berlaku dalam bulan Ramadan yang dimuliakan sebagai bulan turunnya kalam suci. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan memuat naik gambar memijak al-Quran yang mencetuskan kemarahan serta kegusaran umat Islam di negara ini.

Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, lebih mendukacitakan kerana insiden itu berlaku dalam bulan Ramadan yang dimuliakan sebagai bulan turunnya kalam suci.

Advertisement

“Sebarang bentuk penghinaan terhadap al-Quran pada waktu yang penuh keberkatan ini bukan sahaja mencederakan perasaan umat Islam, tetapi menyentuh sensitiviti terdalam keimanan mereka.

"Al-Quran bagi umat Islam bukan sekadar teks keagamaan, sebaliknya merupakan wahyu Ilahi, sumber hukum, panduan akhlak serta asas peradaban.

"Perbuatan memijak al-Quran adalah tindakan tidak beradab, melampaui batas kebebasan bersuara, serta berpotensi menggugat keharmonian masyarakat majmuk di negara ini," ujar Ahmad Fahmi menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Sehubungan itu, ABIM menegaskan permohonan maaf individu terbabit tidak seharusnya menggugurkan tanggungjawab mereka daripada sudut undang-undang.

"Malaysia adalah negara hukum. Penghinaan terhadap mana-mana agama, apatah lagi kitab suci, mesti disiasat dan diambil tindakan berdasarkan lunas undang-undang yang adil dan telus,” tegasnya.

Selain itu, ABIM berpendirian kebebasan bersuara tidak pernah bermaksud kelonggaran untuk menghina agama kerana dalam masyarakat plural, kebebasan sentiasa disertai tanggungjawab.

"Bagaimanapun umat Islam diingatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri di luar kerangka undang-undang. Ramadan mengajar disiplin diri dan kawalan emosi, langkah mempertahankan maruah agama mesti dilakukan melalui saluran sah, beradab dan berhemah.

"Pada masa sama, kerajaan dan masyarakat MADANI diseru memperkukuh pendidikan literasi agama dan kenegaraan bagi meningkatkan kefahaman terhadap sensitiviti simbol agama sebagai asas membina budaya saling hormat dalam negara majmuk," kata Ahmad Fahmi.

Tambahnya, semua pihak perlu bertindak dengan kematangan dan tidak memanipulasi insiden ini untuk keuntungan politik atau sentimen perkauman.

Sebelum ini, tular di media sosial apabila seorang pengguna Threads didakwa memuat naik gambar memijak al-Quran.

Individu berkenaan yang didakwa merupakan pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) kemudiannya tampil memohon maaf atas tindakannya memuat naik gambar tersebut.

Penuntut itu seterusnya ditahan oleh polis bagi siasatan lanjut.

Must Watch Video