KUALA LUMPUR: Polis selesai merakam keterangan 13 individu berkaitan penganjuran piket 'Aksi Bertindak: Kepung Demi Palestin' yang diadakan berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah berkata semua individu berkenaan memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Wangsa Maju pagi ini bagi membantu siasatan di bawah Sek 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Beberapa individu lagi akan turut dipanggil bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Bekas Ahli Parlimen Batu Chua Tian Chang atau dikenali sebagai Tian Chua yang juga sebahagian daripada Sekretariat Solidariti Palestin antara individu yang datang memberi keterangan pada pukul 10.30 pagi bersama 11 individu lain.

Turut memberi keterangan, Timbalan Ketua Pemuda MCA Mike Chong Yew Chuan, Setiausaha Agung MUDA Amir Hariri Abd Hadi, peguam Datuk Ambiga Sreenevasan, Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Mohd Hasbie Muda Presiden Sejagat, Syed Sheikh Al-Attas Syed Hassan dan aktivis sosial Hishamuddin Rais.

Tian Chua berkata pihaknya memberikan kerjasama baik kepada polis dan menjawab soalan berkaitan piket yang diadakan selama enam hari bermula 26 Dis lepas.

"Saya percaya apa yang kami lakukan adalah sah dan mengikut undang-undang...terpulang kepada polis menentukannya jika mereka berpendapat sebaliknya.

"Mereka (polis) masih mengumpul bukti sama ada ia menyalahi undang-undang atau tidak... ia masih awal untuk menentukannya, katanya pada sidang media selepas memberi keterangan di IPD Wangsa Maju di sini, hari ini.

Piket itu ialah inisiatif warga Malaysia yang peduli dengan krisis di Gaza yang telah mengorbankan sebanyak 21,822 rakyat Palestin setakat 31 Dis lepas, selain sebagai tanda kecintaan kepada keamanan.

Solidariti berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat itu sebagai simbolik pengepungan terhadap Gaza dan ia juga bagi menuntut supaya pembunuhan terhadap rakyat Palestin dihentikan, serta mendesak supaya gencatan senjata dilaksanakan segera.

Himpunan itu membabitkan sebanyak 48 badan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada organisasi masyarakat, pertubuhan pemuda dan pelajar serta kelompok politik daripada pelbagai spektrum.

-- BERNAMA