Mana-mana parti politik diminta jangan mengeksploitasi isu empat warga Malaysia yang diculik di Filipina bagi kepentingan politik mereka.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tindakan berkenaan hanya menyukarkan usaha polis dalam proses mempercepatkan pembebasan mereka.

Khalid menujukan amaran tersebut kepada semua parti politik susulan kejadian anggota keluarga mangsa yang dijemput naik ke pentas semasa ceramah DAP di Sibu ketika berkempen bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak bagi meraih wang derma.


"Kita faham nasib keluarga mangsa dalam senario ini tetapi ada parti-parti politik menggunakan hal ini untuk mengambil kesempatan. Mereka menggunakan keluarga mangsa sebagai alat dalam kempen politik mereka.

"Saya nasihat kepada parti politik ‘kedua-dua belah pihak’ tidak merumitkan lagi usaha kami untuk menyelamatkan mangsa," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Unit Polis Bantuan ERM Property di Oasis Square, Petaling Jaya, pada Selasa.

Khalid turut menggesa parti-parti politik untuk memberikan ketenangan kepada keluarga di masa yang sukar ini dan meyakinkan mereka bahawa pihak berkuasa sudah sehabis baik mengendalikan perkara tersebut.

Khalid berkata polis tidak akan "lari dari tugas mereka" dan akan mengambil setiap langkah untuk mengembalikan empat individu tersebut ke tanah air dengan selamat.

Khalid berkata parti politik berkenaan sepatutnya memberi penjelasan kepada keluarga mangsa bahawa pihak berkuasa telah mengambil semua langkah sewajarnya untuk membebaskan mangsa.

Beliau semalam memaklumkan bahawa pihaknya mendapat maklum balas positif dari pihak keselamatan Filipina mengenai usaha menyelamat empat rakyat Malaysia yang diculik itu.

Pada 1 April, empat lelaki dari Sarawak - Wong Teck Kang, 31, Wong Hung Sing, 34, Wong Teck Chii, 29, dan Johnny Lau Jung Hien, 21, telah diculik oleh kumpulan lelaki bersenjata di perairan Pulau Ligitan, Sabah.

Mereka adalah antara sembilan anak kapal bot tunda yang dalam perjalanan pulang dari Filipina ke Malaysia.