Minggu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 digunakan sepenuhnya beberapa anak muda dari Kuching untuk mempromosi kepentingan keluar mengundi.

Bagi mereka, kesedaran itu perlu ada sejak muda sekali gus mewujudkan sikap cakna politik yang harus ada dalam diri setiap anggota masyarakat.

Menggunakan jenama Borneo Aiskrim, pengusahanya, Mohd Shukury Anuar berkata, premisnya hanya dibuka pada setiap hari Sabtu bermula pukul 3 petang sehingga habis stok.

Semasa minggu berkempen untuk PRN ini, Mohd Shukri yang lebih dikenali dengan panggilan EE turut bersama dengan promosi undi aiskrim.


Katanya, promosi grafik seperti kertas undi yang dipangkah akan memberi gambaran cara mengundi yang betul semasa hari membuang undi kelak.

"Kita turut mengambil aura untuk mengundi. Kerana itu kita buat 'vote for ice cream'.

"Maksudnya dalam minggu ini kita turut serta dalam kempen untuk peminat datang ke sini, mengambil semangat untuk mengundi.

"Jadi apabila sampai hari mengundi nanti, mereka sudah bersedia, kita sentiasa beri sokongan kepada mereka," katanya semasa ditemui di premisnya di sini hari ini.

Mohd Shukury menggunakan gula apong daripada nira pokok nipah yang banyak diperoleh di sekitar Sungai Sarawak sebagai pemanis di dalam aiskrim. - Foto Facebook Borneo Aiskrim
Istimewanya, EE menggunakan gula apong daripada nira pokok nipah yang banyak diperoleh di sekitar Sungai Sarawak sebagai pemanis di dalam aiskrim.

Konsep bahan kitar semula yang digunakan pada semua fasiliti seperti meja dan papan tanda premisnya menambah keunikan premis itu.

Jelasnya, isu halal yang menjadi perhatian turut dijadikan asas memastikan produknya sentiasa diyakini pelanggan.

"Kita benar-benar fokus tentang isu halal ini, ia soal yang besar terutama dalam proses penyediaan aiskrim," ujarnya.

Istimewanya aiskrim ini diletakkan tebaloi (makanan ringan yang diperbuat daripada tepung dan kelapa), nangka atau pisang sebagai penambah perisa.

Dalam pada itu, pelanggan tetap Borneo Aiskrim, Amalul Ariffin Hussain berkata, konsep santai kedai itu menjadi tarikan anak muda untuk dijadikan lokasi perbincangan isu semasa.

"Biasanya lepak kedai kopi, ini lepak di kedai aiskrim untuk berbincang mengenai kerja, membuat majlis hari jadi atau apa sahaja.

"Orang muda kini mempunyai banyak pilihan, di kedai aiskrim misalnya, ia lokasi harga berpatutan dan aiskrimnya juga lazat," katanya.

Seorang lagi pelanggan tetap Borneo Aiskrim, Shetila Dris berkata, dia memang menunggu setiap hari Sabtu untuk menikmati aiskrim gula apong.

"Aiskrim ini sangat istimewa, saya sendiri memang menunggu setiap Sabtu. Rasanya tidak terlalu manis ditambah lagi dengan perisa tebaloi atau kacang," ujarnya.

Produk ini juga boleh dirujuk di laman media sosial mereka iaitu Borneo Aiskrim untuk Instagram dan Facebook.

Proses pengundian bagi 80 kerusi DUN Sarawak bakal berlangsung 7 Mei ini dengan dua lagi kerusi telah dimenangi calon Barisan Nasional (BN) tanpa bertanding pada hari penamaan calon.