KUALA LUMPUR: Langkah lanjut untuk mengekang jenayah pencerobohan data peribadi termasuk meminda beberapa fasal dalam akta berkaitan adalah bagi membolehkan penguatkuasaan yang lebih kukuh, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata pada masa sama, penggunaan teknologi tertentu juga boleh diteliti untuk mengukuhkan lagi usaha pelindungan data peribadi.

"Pengalaman kita sehingga 2021, kita akui hampir 100 juta data yang terbukti telah dicerobohi malah berlaku beberapa kali dan tindakan mengikut undang-undang, termasuk mendenda pihak yang melakukan kecuaian yang mengakibatkan pecerobohan data, telah diambil.

"Isu ini berlaku secara berterusan dan kita faham ia agak rumit untuk diatasi tetapi memerlukan langkah yang lebih lanjut untuk dikekang," katanya ketika ditanya mengenai isu itu dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di Bangunan Parlimen pada Isnin.

Annuar, yang juga pengerusi pasukan khas itu, berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOM) bertanggungjawab bagi data peribadi di sektor komersial manakala data lain adalah tanggungjawab di bawah Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Jabatan Perdana Menteri.

Annuar berkata pada masa sama juga, K-KOMM perlu melihat kepada penggunaan teknologi tertentu untuk mengukuhkan lagi perlindungan kepada data.

Beliau berkata selain perlindungan data, jenayah penipuan yang berleluasa dan menyebabkan kerugian dalam jumlah besar turut menjadi tumpuan kementerian itu.

"Ini juga terkait dengan soal pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia yang akan dibawa dalam masa terdekat ke Parlimen untuk melakukan beberapa penambahbaikan tertentu.

"Saya juga sedang melihat dan ingin menjemput beberapa pihak membuat pembuktian konsep (POC) bagi mengadakan alat ataupun perkakas supaya orang awam dapat menyemak apabila ada sesuatu panggilan yang dianggap sebagai penipuan," katanya.

Annuar berkata isu ketika ini ialah setiap syarikat telekomunikasi menyimpan data melibatkan nombor yang digunakan dalam aktiviti penipuan namun orang awam tiada akses untuk mengetahui sama ada ia adalah daripada pengguna sebenar atau tidak.

Beliau berkata daripada penyiasatan pihak K-KOMM, banyak pihak penipu yang menggunakan nombor individu yang telah meninggal dunia atau nombor yang tiada dalam perkhidmatan.

"Jadi saya sedang melihat beberapa pendekatan untuk mewujudkan satu platform di mana apabila ada panggilan begitu, orang awam ada akses untuk terus menyemak panggilan itu daripada nombor apa.

"Adakah itu nombor daripada PDRM (Polis Diraja Malaysia), LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) dan sebagainya supaya kita dapat memberikan amaran awal kepada mereka yang mungkin hampir menjadi mangsa penipu untuk menolak ataupun tidak menghiraukan panggilan-panggilan sedemikian," katanya.

Annuar berkata beliau juga sedang meninjau langkah yang dilakukan di Indonesia dan Thailand berkaitan kaedah untuk menangani jenayah penipuan.

"Ini sedang dalam pelaksanaan dan MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) telah dimaklumkan untuk menjemput beberapa pihak untuk membuat POC ke arah mewujudkan satu platform membantu orang awam mengenal pasti penipu," katanya.

-- BERNAMA