MALAYSIA
Pindaan Akta 711 isyarat kesungguhan politik, tangani rasuah, salah laku - Pakar

Sivamurugan berpendapat, pindaan Akta 711 jelas menunjukkan kesungguhan meningkatkan penguatkuasaan dan menjamin hak pemberi maklumat selaras dengan amalan negara maju. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Selasa dilihat sebagai manifestasi jelas kemahuan politik kerajaan MADANI untuk memperkukuh integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam sistem pentadbiran negara.
Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian menyifatkan langkah itu sebagai pemangkin reformasi institusi yang mampu mendorong lebih banyak rakyat tampil melaporkan salah laku sekali gus mengukuhkan perundangan sedia ada.
"Ini jelas menunjukkan kesungguhan meningkatkan penguatkuasaan dan menjamin hak pemberi maklumat selaras dengan amalan negara maju," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau turut menekankan kepentingan mekanisme audit dan pemantauan bagi memastikan maklumat yang diterima adalah sahih dan tidak disalah guna bagi kepentingan tertentu."Apabila keyakinan ini wujud, lebih ramai akan tampil ke hadapan untuk memberikan maklumat tanpa rasa bimbang mereka pula yang bakal terjerat," kata Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) itu.
Sementara itu, penganalisis politik Mujibu Abd Muis menyifatkan pindaan terhadap Akta 711 sebagai langkah signifikan, khususnya dengan penubuhan Jawatankuasa Perlindungan Pemberi Maklumat bagi memantau pelaksanaan akta secara menyeluruh.
Beliau berkata, mekanisme baharu itu menggantikan kebergantungan sebelum ini terhadap sifat 'bureaucratic discretion' atau budi bicara agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau Jabatan Audit.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kejayaan perlaksanaan akta itu tidak hanya bergantung kepada perundangan semata-mata, tetapi turut memerlukan perubahan budaya dalam pentadbiran.
"Dalam budaya pentadbiran yang masih hierarki dan feudalistik, ramai masih takut dikenakan tindakan pentadbiran atau sosial. Undang-undang sahaja tidak cukup kalau masih wujud 'culture of silence'," katanya.
Mujibu menambah, pindaan itu juga membuktikan keseriusan dan kemahuan politik untuk menyelaras undang-undang domestik dengan piawaian antarabangsa seperti digariskan oleh United Nations Convention Against Corruption (UNCAC), Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) atau Transparency International.
Bagi memastikan keberkesanan jangka panjang, beliau mencadangkan pelaksanaan Audit Tahunan Bebas, Sistem Pelaporan Terbuka, pemantauan oleh Parlimen dan kerjasama dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) sebagai entiti berkecuali yang berwibawa.
Antara pindaan utama Akta 711 ialah pemansuhan had dalam Seksyen 6(1) bagi membolehkan pendedahan salah laku dibuat kepada agensi penguatkuasaan walaupun tertakluk kepada sekatan undang-undang lain.
Selain itu, pindaan berkenaan turut mengiktiraf pendedahan maklumat tertakhluk kontrak kerahsiaan, selagi dibuat secara jujur dan demi kepentingan awam.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami