Ringkasan AI
- Kerajaan merancang membentangkan rang undang-undang pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 di Parlimen pada sesi pertama tahun hadapan.
- Pindaan ini mewajibkan pesalah memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah membayar pampasan kepada mangsa kemalangan dalam prosiding mahkamah yang sama.
- Langkah ini bertujuan memudahkan mangsa mendapatkan pampasan tanpa perlu memfailkan tuntutan sivil berasingan, serta mempercepatkan proses keadilan.
PUTRAJAYA: Kerajaan menyasarkan rang undang-undang pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mewajibkan pesalah memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah membayar pampasan kepada mangsa kemalangan, dibentangkan di Parlimen pada sesi pertama tahun hadapan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, keputusan dasar berhubung cadangan itu telah dipersetujui Jemaah Menteri beberapa bulan lalu, manakala Kementerian Pengangkutan kini sedang menyediakan draf rang undang-undang bersama Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Keputusan dasar telah dibuat oleh Kabinet. Jadi, tugas Kementerian Pengangkutan sekarang ialah menyediakan draf akta atau rang undang-undang itu, sudah tentu bersama AGC.
“Proses itu akan mengambil sedikit masa kerana kita perlu mengambil kira banyak aspek teknikal,” katanya dalam satu sidang media, di sini, pada Isnin.
Menurut Loke, cadangan pindaan itu bertujuan menggabungkan proses jenayah dan tuntutan sivil bagi membolehkan mahkamah memberikan pampasan kepada mangsa dalam prosiding kes berkaitan.
Jelasnya lagi, di bawah sistem sedia ada, pemandu yang melakukan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah boleh didakwa melalui proses jenayah, manakala mangsa perlu memfailkan tuntutan sivil secara berasingan sekiranya mahu mendapatkan pampasan.
Situasi itu menimbulkan kesukaran kepada sesetengah mangsa yang tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk memulakan tindakan sivil, selain proses mendapatkan pampasan yang boleh mengambil masa bertahun-tahun.
“Apa yang kita sedang lakukan sekarang ialah kita mahu menggabungkan kedua-dua sistem ini menjadi satu. Jadi, apabila kes dibawa ke mahkamah, hakim juga boleh memberikan pampasan kepada mangsa,” katanya.
Loke berkata, pendekatan itu turut mengambil kira prinsip diyat, iaitu pampasan kepada mangsa atau waris dalam konteks undang-undang Islam, yang menurutnya mencerminkan prinsip lebih menyeluruh dalam memastikan hak mangsa terbela.
Beliau berharap pindaan berkenaan dapat memudahkan mangsa mendapatkan pampasan sewajarnya, selain memastikan proses keadilan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.