KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) 1999 (Akta 597) mengukuhkan fungsi suruhanjaya itu dalam hal berkaitan hak kanak-kanak menerusi peruntukan pelantikan Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak dan dua Pesuruhjaya Kanak-Kanak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata menerusi Rang Undang-Undang Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Pindaan) 2023, tiga jawatan dengan perkhidmatan secara sepenuh masa tersebut memberikan lebih peluang kepada pesuruhjaya melakukan pemantauan termasuk di pusat tahanan atau tempat lain yang digazetkan untuk kanak-kanak.

Selain itu, beliau berkata pindaan akta tersebut akan mengukuhkan lagi fungsi pelantikan jawatan berkenaan yang merangkumi aspek dan peranan mereka untuk memantau pelaksanaan undang-undang berkaitan kanak-kanak.

"Peranan seorang ketua dan dua pesuruhjaya (kanak-kanak) ini bukan untuk pengawasan, bukan membuat penguatkuasaan...tetapi mereka sebagai pendidik, pemantau undang-undang dan pemberi maklumat dalam hal-hal berkaitan hak kanak-kanak.

"Seperti juga wakil pesuruhajaya di Sabah dan Sarawak, mereka juga membantu dalam isu kanak-kanak tidak bernegara," katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu di Dewan Rakyat hari ini.

Azalina berkata hal ehwal kanak-kanak bukan sahaja di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat semata-mata malah turut dipikul 21 agensi dan jabatan lain yang mengguna pakai 42 undang-undang berkaitan kanak-kanak.

Sementara itu, beliau berkata pindaan kepada Akta 597 yang antaranya menghalang individu aktif dalam politik dilantik sebagai anggota suruhanjaya bagi membolehkan Suhakam melaksanakan fungsi tanpa berlaku bias.

Beliau berkata pindaan itu tidak mendiskriminasi peranan ahli politik sebaliknya bagi memastikan suruhanjaya bersikap berkecuali dan bebas daripada sebarang konflik kepentingan.

Rang undang-undang itu kemudiannya diluluskan tanpa pindaan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan 19 Ahli Parlimen di peringkat dasar dan dua wakil rakyat di peringkat jawatankuasa.

-- BERNAMA