Pinjaman 'beli sekarang, bayar kemudian' cecah RM4.2 bilion akhir September - MoF

Hui Ying berkata jumlah BNPL yang tidak berbayar atau tertunggak adalah terkawal iaitu RM147.7 juta atau 3.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman skim berkenaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jumlah pinjaman skim "Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) setakat 30 September 2025 mencecah RM4.2 bilion yang meliputi 7 juta pemegang akaun aktif dalam negara yang merangkumi 0.3 peratus daripada keseluruhan keberhutangan isi rumah Malaysia.
Ringkasan AI
- Jumlah pinjaman skim "Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL)" mencecah RM4.2 bilion sehingga September 2025, melibatkan 7 juta pemegang akaun aktif, yang merupakan 0.3 peratus daripada keseluruhan hutang isi rumah Malaysia.
- Terdapat RM147.7 juta atau 3.5 peratus pinjaman BNPL yang tidak berbayar, dengan 185,465 pemegang akaun yang mempunyai baki tertunggak.
- Kerajaan sedang mengambil langkah proaktif melalui Akta Kredit Pengguna 2025 untuk mengawal penggunaan BNPL dan kad kredit dalam platform e-dagang, bagi memastikan pemberian hutang berlangsung secara berhemah demi melindungi pengguna dan keselamatan sistem kewangan negara.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai langkah kerajaan dalam mengawal pembelian kredit di platform e-dagang yang berpotensi tinggi menjadi punca peningkatan hutang isi rumah di Malaysia.
Selain itu, Hui Ying berkata setakat September 2025, jumlah hutang kad kredit adalah sebanyak RM50.7 bilion dengan jumlah tidak berbayar atau tertunggak sebanyak RM551.8 juta atau 1.1 peratus daripada keseluruhan hutang kad kredit dan kad caj.
"Kad kredit dan kad caj menawarkan fleksibiliti pembayaran kepada pengguna sekiranya pengguna mampu mengurus hutang dengan berhemah.
"Penggunaan kad kredit dan kad caj dalam platform e-dagang menyumbang kepada peningkatan pembelian secara kredit dalam kalangan isi rumah dengan kad kredit dan kad caj kekal sebagai salah satu instrumen utama pembiayaan pengguna," katanya.
Menurutnya, kerajaan mengambil langkah proaktif dan menyeluruh dalam menangani isu pembelian kredit melalui platform e-dagang yang berpotensi menyumbang kepada peningkatan hutang isi rumah, khususnya melalui penggunaan kad kredit dan skim BNPL.
"Kerajaan sentiasa prihatin dan terus memperkenalkan pelbagai dasar untuk memastikan pemberi pinjaman kredit sentiasa berhemah dalam aktiviti pemberian hutang.
"Langkah ini penting dalam menangani risiko hutang melebihi kemampuan serta meningkatkan perlindungan kepada pengguna kredit demi memastikan ianya tidak menimbulkan kesan negatif kepada daya tahan isi rumah serta kestabilan sistem kewangan negara," katanya.
Hui Ying juga berkata Akta Kredit Pengguna 2025 (AKP) yang dijangka berkuat kuasa akhir tahun ini adalah antara inisiatif kerajaan untuk mengawal penggunaan BNPL terutamanya dalam pembelian melalui kredit di platform e-dagang.
"Melalui AKP ini, pemberi kredit bukan bank seperti syarikat BNPL dikehendaki mematuhi keperluan pelakuan dan amalan pemberian kredit yang bertanggungjawab bagi melindungi pengguna kredit.
"Ini termasuk melakukan penilaian kelayakan kredit dan penilaian kemampuan berhutang terhadap pengguna kredit sebelum menawarkan pembiayaan, memastikan terma urus niaga adil, pengenaan caj atau fi yang telus, berpatutan dan tidak membebankan serta tata cara pengutipan hutang berhemah terhadap pengguna kredit," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


