KEPALA BATAS: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menarik balik lesen premis, iklan dan hiburan awam sebuah premis yang beroperasi sebagai kelab malam di Bandar Setia Utara Fontaines, Bertam di sini.
Datuk Bandar MBSP Datuk Baderul Amin Abdul Hamid berkata sehubungan itu, premis berkenaan diarahkan tutup serta-merta dengan tindakan diambil menurut Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).
“Surat tersebut dihantar malam ini dan kegagalan, keengganan atau kecuaian pemilik untuk mematuhi arahan penutupan itu boleh menyebabkan MBSP mengambil tindakan penutupan dan sitaan melalui Seksyen 101(v) Akta 171," katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.
Baderul Amin berkata tindakan pendakwaan juga boleh dikenakan ke atas pemilik premis sekiranya didapati gagal menjelaskan kompaun yang telah dikeluarkan oleh MBSP.
MBSP sebelum ini mengarahkan kelab malam itu ditutup kerana tidak mematuhi peraturan lesen yang ditetapkan dan tindakan tersebut diambil selepas menjalankan pemantauan dan pemeriksaan di premis berkenaan sebanyak tiga kali antara 23 hingga 29 April lepas.
Baderul Amin dilaporkan berkata pemeriksaan mendapati premis itu gagal mematuhi perkara-perkara berikut, iaitu menjalankan penjualan minuman keras tanpa lesen, mempamerkan papan iklan tanpa lesen dan meletakkan meja serta kerusi tambahan tanpa permit.
Terdahulu, tular di media sosial aduan awam membantah operasi kelab malam itu kerana didakwa dibuka hingga awal pagi, selain terletak di sebelah pusat pengajian dan asrama pelajar perempuan pusat tahfiz serta pusat jagaan orang tua.
Pengoperasian kelab malam itu menyebabkan orang ramai dan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kepala Batas mengadakan perhimpunan di hadapan premis tersebut bagi mendesak penutupannya.
-- BERNAMA