Skip to main content

Malaysia

PISA 2025: Sokongan guru Malaysia atasi purata negara OECD

PUTRAJAYA, 8 Sept - Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek semasa hadir ke Sidang Media Pengumuman Programme for International Student Assessment (PISA) 2025 di Putrajaya hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Peranan guru juga tidak boleh diketepikan dalam perbahasan mengenai kurikulum, teknologi dan peperiksaan kerana hubungan antara guru dan murid kekal menjadi asas kepada pendidikan. - Gambar Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Sebanyak 91 peratus murid Malaysia melaporkan bahawa guru membantu mereka dalam pembelajaran, lebih tinggi berbanding purata 76 peratus bagi negara anggota Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, dapatan Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025 itu menunjukkan tahap sokongan tinggi diberikan guru kepada murid dalam proses pembelajaran.

Ia turut menyaksikan 87 peratus murid melaporkan bahawa guru terus mengajar sehingga mereka memahami sesuatu pelajaran, berbanding purata OECD sebanyak 66 peratus.

Selain itu, 86 peratus murid menerima bantuan tambahan apabila diperlukan berbanding 73 peratus bagi OECD, manakala 83 peratus diberikan peluang menyatakan pendapat berbanding purata OECD sebanyak 70 peratus.

Dalam aspek minat guru terhadap pembelajaran murid pula, Malaysia mencatatkan 80 peratus berbanding purata OECD sebanyak 69 peratus.

Fadhlina berkata, dapatan itu mencerminkan peranan guru bukan sahaja dalam mendidik, malah membimbing murid dengan ihsan dan kasih sayang.

“Keputusan PISA 2025 ini sangat penting menunjukkan bahawa murid Malaysia merasakan sokongan guru-guru.

“Guru-guru Malaysia telah mendidik, membimbing anak-anak kita dengan jiwa, dengan ihsan, kasih sayang dan nyala rasa yang cukup tinggi.

“Sebab itu saya fikir kita ambil peluang ini untuk mengatakan ucapan tahniah dan terima kasih kepada guru-guru kita kerana selamanya guru adalah nadi pendidikan negara,” beliau berkata demikian pada sidang media mengenai dapatan PISA 2025 di Putrajaya pada Selasa.

Menurutnya, peranan guru juga tidak boleh diketepikan dalam perbahasan mengenai kurikulum, teknologi dan peperiksaan kerana hubungan antara guru dan murid kekal menjadi asas kepada pendidikan.

“Pendidikan akhirnya adalah tentang seorang cikgu yang menyalakan harapan dalam diri seorang anak.

“Ini penting kerana kadang-kadang seorang anak itu memerlukan satu ayat sahaja, ‘kamu boleh’ ataupun ‘you can do this’.

“Dengan hanya satu kata-kata seorang guru dan kepercayaan seorang guru, anak-anak kita boleh teruskan perjalanan pendidikan mereka,” tambahnya.

Must Watch Video

Advertisement