PKF 2025: PNB perkukuh agenda transformasi, angkat ekonomi inklusif dan lestari

Abdul Rahman ketika menyampaikan ucapan pada PKF 2025 bertemakan Transformasi di ibu negara, hari ini. – Foto PNB
KUALA LUMPUR: Transformasi bukan lagi sekadar slogan bagi Permodalan Nasional Berhad (PNB), sebaliknya diterjemah sebagai teras utama dalam membina ekonomi negara yang lebih lestari, inklusif dan berdaya saing.
Itu antara mesej utama disampaikan melalui PNB Knowledge Forum (PKF) 2025, platform kepimpinan pemikiran tahunan anjuran PNB Research Institute (PNBRI) yang berlangsung hari ini di ibu negara.
Menurut Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad, forum berkenaan menjadi wadah penting bagi membincangkan perubahan besar yang sedang membentuk ekonomi, organisasi dan masyarakat global.
“PNB Knowledge Forum merupakan platform utama kami untuk kepimpinan pemikiran dan pertukaran ilmu dalam landskap pelaburan dan korporat Malaysia. Forum ini mengumpulkan pakar-pakar global terkemuka untuk membincangkan isu-isu utama yang membentuk negara dan ekonomi kita,” katanya.Antara nama besar yang hadir sebagai penceramah termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; ahli ekonomi antarabangsa Dr. Yanis Varoufakis; mantan Ketua Jenama Global LEGO Christian Majgaard, dan Ketua Penyelidikan CLSA, Shaun Cochran.
Turut berkongsi pentas ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli; Pengarah Urusan Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican; pengasas bersama ZUS Coffee, Venon Tian; aktivis alam sekitar Melati Wijsen dari Bye Bye Plastic Bags; serta pelakon dan pelawak Douglas Lim.

Anwar Ibrahim berkongsi pandangan dalam sesi In-Conversation bersama moderator Lorraine Hahn pada PNB Knowledge Forum (PKF) 2025 di ibu negara. – Foto PNB
Abdul Rahman juga menegaskan bahawa dunia kini sedang mengalami perubahan ketara hasil perkembangan geopolitik, teknologi dan inovasi seperti kecerdasan buatan (AI), sekali gus menuntut organisasi dan negara untuk terus menyesuaikan diri.
“Dalam dunia di mana perdagangan dan ekonomi global, pelaburan dan kehidupan kita sedang mengalami transformasi, pengurusan perubahan amat penting. Kita perlu sentiasa berinovasi dan kadangkala membuat perubahan hala tuju agar kekal relevan serta mencipta nilai jangka panjang,” ujarnya.
Tambahnya, semangat transformasi itu bukan hanya dibincangkan di pentas forum, sebaliknya menjadi sebahagian daripada falsafah operasi dan strategi korporat PNB.
“Di PNB, transformasi diterap dalam setiap aspek kerja kami daripada perubahan strategik, pengenalan inovasi hingga penerapan nilai kelestarian. Ia membentuk ekonomi yang lebih inklusif dan memenuhi matlamat kami untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi,” jelasnya.
Kejayaan PNB diiktiraf di peringkat global apabila syarikat itu menduduki tempat teratas di Malaysia dan ke-17 dunia dalam kalangan Dana Kekayaan Negara (Sovereign Wealth Funds) berdasarkan Governance, Sustainability and Resilience (GSR) Scoreboard, dengan skor sempurna 10 daripada 10 bagi aspek kelestarian.
Forum tahun ini memberi tumpuan kepada empat dimensi transformasi ekonomi, geografi, organisasi dan peribadi bagi merangka pendekatan baharu terhadap pertumbuhan mampan dan daya tahan negara.

Anwar Ibrahim bergambar bersama barisan kepimpinan dan pengurusan tertinggi PNB. – Foto PNB
Lebih 600 peserta termasuk pemegang unit Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), pelajar program Celik MADANI, pemimpin syarikat berkaitan kerajaan (GLC), ahli akademik dan tokoh korporat menghadiri forum yang bertemakan Transformasi itu.
Dengan aspirasi yang selari dengan Kerangka Ekonomi MADANI yang digagaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, PNB berhasrat menjadikan agenda transformasi bukan sekadar wacana, tetapi pemacu utama kepada masa depan ekonomi yang progresif dan seimbang untuk semua rakyat Malaysia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami