KUALA LUMPUR:Menyedari akan keperitan rakyat susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) mengambil inisiatif menawarkan potongan harga sehingga 15 peratus bagi kesemua hasil laut.

Pengurus Besarnya, Azrin Shah Ismail berkata, inisiatif itu bagi membantu mereka yang memerlukan untuk mendapatkan bekalan bahan mentah pada harga rendah.

Katanya, usaha itu juga bertujuan membantu para nelayan tempatan yang turut terkesan dengan pelaksanaan PKP dalam memasarkan hasil laut mereka.

"Nekmat juga berfungsi dalam membantu nelayan dan di sini kita mainkan peranan dengan membeli hasil laut daripada nelayan untuk dipasarkan kerana mereka turut terkesan dengan pelaksanaan PKP.

Produk hasil laut ini dibawa khas dari LKIM Perlis dan dipasarkan di Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Nekmat di Taman Wahyu, Kuala Lumpur. - Gambar Astro AWANI / Fauzi Suhaimi

"Kita ambil ikan dari Kuala Perlis dan bawa terus ke Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Nekmat di Taman Wahyu, di sini untuk dipasarkan kepada warga kota.

"Kelebihan kita adalah apabila kita mengambil hasil laut secara terus dari nelayan, kita boleh bantu untuk mengurangkan harga ikan kepada pengguna dan ini mampu menjimatkan kos warga kota untuk mendapatkan ikan segar," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, Azrin Shah berkata, bagi memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan ikan sepanjang tempoh PKP, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan penghantaran terus ke rumah.

NEKMAT | NEKMAT sedia khidmat hantar, tawar harga murah


Seorang runner sedang memilih ikan yang dipesan oleh pelanggan untuk dihantar terus ke rumah.- Gambar Astro AWANI / Fauzi Suhaimi

"Kita beroperasi dari jam 7 pagi hingga 7 malam dan antara ikan yang ada termasuk ikan Tongkol, Cencaru, Kembong, Sardin, Bawal dan Sotong.

"Selain itu, kita juga menyediakan perkhidmatan penghantaran ikan segar dan tempahan boleh dibuat setiap hari seawal jam 7.30 pagi hingga 1 tengah hari dengan melayari Facebook Nekmat," jelasnya.

Semua harga ikan yang ditawarkan Nekmat adalah lebih rendah berbanding harga pasaran. - Gambar Astro AWANI

Selain menyediakan produk mentah, beliau menambah, Nekmat turut menyediakan barangan runcit menerusi Pasar Mini Nekmart pada harga yang sangat berpatutan.

"Pasar mini ini adalah usaha sama usahawan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK), Pertubuhan Peladang, usahawan Bumiputera, usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dan usahawan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)," ujarnya.

Untuk rekod, sebanyak RM2.055 juta diperoleh Nekmat menerusi inisiatif itu yang bermula sejak pelaksanaan PKP pada 18 Mac lalu hingga hari ini membabitkan sebanyak 219 tan metrik hasil laut segar.