KUALA LUMPUR:Semua taman awam di Wilayah Persekutuan dibenarkan beroperasi semula bermula hari ini, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan berkata, bagaimanapun aktiviti riadah secara bersendirian sahaja dibenarkan dan tidak melibatkan kegiatan secara berkumpulan.

Katanya, sehubungan itu, pihaknya bersetuju untuk membuka semula taman-taman awam, tetapi perlu diselia khususnya dalam aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

"Lazimnya, aktiviti di taman awam selalunya melibatkan aktiviti riadah secara berkumpulan, berkelah dan beramai-ramai dan ini tidak dibenarkan.

"Namun, tidak pula ia menghalang aktiviti-aktiviti lain yang dibolehkan, jadi kita setuju taman awam dibuka untuk digunakan orang awam selagi mana ia tidak bertentangan dengan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya dalam sidang media berkaitan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Wilayah Persekutuan menerusi Facebook Live di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Annuar berkata, aktiviti penjualan di taman-taman awam masih tidak dibenarkan dalam tempoh PKP.

"Dengan pembukaan ini, kita masih tidak benarkan aktiviti secara berkelompok seperti senamrobik, Tai Chi yang menyebabkan kontak rapat.

"Selain itu, aktiviti penjualan juga tidak dibenarkan kerana ia tidak selari dengan garis panduan. Begitu juga ia mesti dikawal selia iaitu pintu masuk dan pintu keluar perlu diasingkan serta mereka yang datang ke taman perlu mengambil suhu badan sebagai satu kawalan," jelasnya.