KUALA LUMPUR:Pengoperasian institusi pendidikan tinggi (IPT) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) adalah kekal seperti yang dimaklumkan sebelum ini meskipun negara menguatkuasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula tengah malam ini.

KPT dalam kenyataan memaklumkan, operasi itu membabitkan pelajar antarabangsa dibenarkan masuk ke kampus kecuali dari United Kingdom (UK) seawal 1 Januari 2021 dan pelajar tempatan seawal 1 Mac 2021.

Sehubungan itu, menurut kenyataan itu, semua pelajar yang berada di kampus perlu kekal di kampus masing-masing dan mengikuti pembelajaran secara hibrid.

Bagi pelajar lain, KPT berkata, pembelajaran bagi semua program pengajian diteruskan dengan pembelajaran secara dalam talian sehingga tamat PKP.

"Peperiksaan antarabangsa dan badan profesional adalah dibenarkan dijalankan di kampus.

"Pelajar-pelajar berkeperluan seperti latihan klinikal, peperiksaan profesional, makmal, studio, amali atau akses internet dan seumpamanya adalah dibenarkan.

"Surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh pihak IPT bagi membolehkan pelajar yang berkeperluan memohon kebenaran merentas negeri atau daerah untuk pulang ke kampus daripada pihak berkuasa," katanya di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, KPT menambah, semua aktiviti penyelidikan yang melibatkan kemudahan makmal adalah dibenarkan melalui kebenaran ketua jabatan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Tambah kenyataan itu lagi, pelajar luar kampus yang menjalani aktiviti penyelidikan perlu mendapatkan surat kebenaran keluar masuk kampus dari IPT masing-masing.

"Kementerian menyeru agar pelaksanaan aktiviti akademik di kampus dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya SOP yang telah ditetapkan dan mengutamakan langkah keselamatan serta mengamalkan pembudayaan norma baharu seperti sentiasa memakai pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman serta menjaga penjarakan fizikal.

"Para pelajar boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai tarikh dan jadual kemasukan ke IPT melalui Bilik Gerakan COVID-19 KPT yang dibuka 24 jam di talian 03-8870 6777/ 6949/ 6623/ 6124, atau melayari laman web IPT atau terus menghubungi IPT masing-masing," jelas kenyataan itu lagi.