KUALA LUMPUR:Aktiviti riadah di taman-taman awam di negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah tidak dibenarkan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan hanya membenarkan aktiviti riadah yang terhad kepada dua orang dari setiap rumah dijalankan di kawasan kejiranan sahaja.

"Bagaimanapun terdapat laporan berlaku kesesakan di taman-taman awam di dalam kawasan PKP.

"Saya ingin menegaskan bahawa taman-taman awam adalah ditutup di dalam kawasan PKP dan tidak dibenarkan sebarang aktiviti bersukan atau riadah di taman awam sepanjang tempoh PKP.

"Jadi saya harap jangan ada siapa yang melakukan riadah dan sukan di taman awam kerana takut akan ada tindakan daripada pihak berkuasa," katanya dalam sidang media, di sini pada Khamis.