KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) yang diumumkan semalam tidak akan memberi kesan besar kepada ekonomi negara seperti yang pernah dilihat pada suku kedua tahun lepas.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, ini kerana, pemulihan ekonomi negara masih di landasan yang baik meskipun terdapat beberapa cabaran.

Justeru, katanya, Bank Negara menjangkakan pertumbuhan ekonomi negara kekal pada tahap antara 6.0 ke 7.5 peratus pada 2021.

“Pertama, walaupun dikenakan PKP 2.0, pertumbuhan KDNK suku pertama lebih baik daripada yang dijangkakan. Satu perbezaan penting antara PKP 2.0 dan PKP 1.0 ialah semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi.

“Begitu juga dengan kebanyakan sektor ekonomi yang tetap terbuka pada PKP 3.0. Kami tidak menjangkakan pengumuman PKP semalam (Isnin) akan memberi kesan yang signifikan kepada jangkaan pertumbuhan keseluruhan sehingga tahap yang dilihat pada suku kedua tahun lalu.

“Kedua, kita akan mendapat keuntungan dari peningkatan permintaan luaran yang besar. Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menyemak semula pertumbuhan global untuk tahun ini meningkat kepada 6 peratus pada bulan April daripada 5.5 peratus pada bulan Januari,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media secara dalam talian pada Selasa yang turut dihadiri Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

Tambah Shamsiah, pertumbuhan ekonomi negara juga dijangka diperkukuhkan dengan pemulihan daripada permintaan domestik.

“Indeks perdagangan runcit berubah untuk mencatat pertumbuhan positif 9.6 peratus pada bulan Mac setelah negatif selama lima bulan terakhir ketika perbelanjaan terus pulih.

“Juga akan berlaku peningkatan pekerjaan secara beransur-ansur,” ujarnya.

Jelasnya, ketiga-tiga faktor tersebut membuatkan BNM kekal dengan ramalan pertumbuhan ekonomi 6.0 ke 7.5 peratus untuk tahun ini.