SAYA belajar "live streaming" atau penstriman langsung di Facebook bermula Mei 2020.

Pembelajaran yang sukar tetapi mesti ditekuni kerana saya percaya "penstriman video adalah realiti komunikasi masa depan."

Pada masa sama, apabila opsyen komunikasi manual dan fizikal melumpuh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020, penstriman menemukan titik masa paling tepat untuk dimulakan.

Sebenarnya penstriman video di platform media sosial bukan benda baharu. Bagi pemain Facebook "live", komunikasi strim sudah wujud sejak 2016.

Ratusan dan mungkin ribuan akaun daripada 26.8 juta pemilik Facebook di negara ini sudah memulakan konsep "live" video.

Sebahagiannya kerana promosi perniagaan dan sebahagian lagi popular sebagai "streamer" pelobi politik yang beralih arah dari era menulis di blog ke penstriman langsung.


APA BEZA FACEBOOK "LIVE" DAN PENSTRIMAN TV?

Ada bezanya dari segi konsep kandungan siaran, penjadualan siaran, penghasilan komersial dan servis produk ketika penstriman langsung.

Mekanisme atau "tool" antara "live" dan strim hampir sama. Beza paling ketara ialah model kandungan dan cara penghasilan pendapatan komersial.

"influencer" sesuatu penstriman bersifat komunikasi pengaruh atau menyebarkan jenama produk atau ideologi politik.

"Influencer" produk dan pelobi politik menjual bahan secara hard sell.

Manakala penstriman TV komersial melengkapkan kombinasi kandungan bermaklumat berkonsepkan cara TV dan meraih pendapatan/peniagaan komersial melalui penjualan produk.

Ia lebih soft sell kerana servis kandungan bermaklumat dan pendidikan mengenal produk lebih diutamakan.

Ini kunci utama yang perlu diteroka industri buku iaitu mendidik dan membina semula komuniti pembaca baharu.

Streamer (istilah bagi pemain strim) produk serius seperti buku biasanya berbisnes dengan menjadikan aplikasi strim TV dengan gabungan kandungan maklumat dan nilai produk sebagai model stesen strim TV Facebook.

Ini daya penarik utama membina trafik massa. Seterusnya, melalui aliran trafik baharu dan terbuka ini akan mudah untuk merealisasikan penjualan produk.

Ini strategi "TV" dalam konsep penstriman langsung di media sosial. Fungsinya ialah mengunakan tabiat menonton TV dalam minda pengguna agar menikmatinya kesan yang sama ketika berada di pltaform strim media sosial.

Kandungan pula bukan sensasi karakter, tetapi kualiti kandungan pada produk.

Karakter juga penting tetapi mesti yang mahir 'membukukan' minat membaca pada audien massa.

Ini bagus kerana ketika netizen mula meninggalkan TV, mereka mempunyai peluang mengisi cita rasa TV di platform strim media sosial yang berorientasikan bisnes.

Sekalipun bisnes buku akan tetap ada resipi penariknya.


PENSTRIMAN MEDIA SOSIAL MASA KINI

On saja butang live Favebook dan mulakan jualan. Cara jualan pelbagai. Ada saluran yang terus mempromosi  produk dengan konsep hard sell.

Cuma, penstriman jenis ini menawarkan kaedah pembelian bukan secara live. Penonton harus membeli dengan tempahan berasingan di Mesej Langsung Facebook atau menempahnya di laman web produk.

Namun, kaedah ini sudah dianggap lapuk. Format ini tidak melengkapi kelebihan strim yang memiliki potensi produk boleh dijual secara langsung ketika penstriman.


"INFLUENCER" POLITIK PUN MEMILIH STRIM

Penstriman politik lagi mudah. Mereka lebih "figura" kerana berasal dari era Facebooker atau Blogger sebelum bermigrasi ke penstriman media sosial.

Ketika Facebook bermula pada 2008 dan popular pada 2012, influencer sudah berperanan sebagai broker politik.

Cuma, konsepnya hanya menyebarkan ideologi. Tiada nilai komersial. Biasanya broker politik dianggap "kakasan" ahli politik. Wallahuaklam.


MERUDUMNYA ERA TEKS DAN "POSTING" POSTER DI MEDIA SOSIAL

Apabila teks dan "posting" perniagaan mulai sukar mendapat perhatian akibat lambakan akaun-akaun perniagaan di media sosial, ia dianggap mula menuju hari mati.

Ada kajian rambang meninjau dengan dapatan hampir 4 juta hingga 6 juta poster perniagaan dimuat naik setiap 24 jam.

Ini logik kerana terdapat lebih 3 juta akaun aktif perniagaan.

Fenomena ini sangat ketara kerana pada 2016, hanya terdapat 1.4 juta akaun Facebook yang aktif berniaga.

Angka ini meningkat pantas capai apabila krisis ekonomi berlarutan pada 2015 dan memuncak apabila COVID-19 menyebabkan lebih sejuta orang kehilangan kerja.

Manakala ratusan ribu peniaga premis yang menutup perniagaan turut beralih ke media sosial untuk meneruskan perniagaan.


APA ITU PENSTRIMAN TV LANGSUNG

Saya menghabiskan masa dua tahun melobi untuk menyakinkan banyak pihak dalam industri buku bagi memulakan penstriman TV sebagai medium utama pasaran buku.

Bermula dengan tiga kali pembentangan di MyCreative, empat kali di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan dua kali di Institut Buku dan Terjemahan (ITBM).

Enam bulan menanti untuk memulakan sesuatu, akhirnya tiada pihak yang yakin bahawa: "TV Penstriman adalah jalan keluar terbaik bagi menyelamatkan industri buku!"

Mengapa penstriman mampu menyelamatkam industri buku?

Mudah. Penstriman ialah komunikasi terbaik bagi pemasaran dan jualan. Penstriman membolehkan kuasa memasarkan buku menjadi lebih menyeluruh, komunikatif dan interaktif.

Paling besar impaknya ialah penstriman TV mampu menyelesaikan masalah utama industri buku dalam konteks mencari pembeli baharu.

Ia sekali gus tidak bergantung pada rotasi pembeli sedia ada atau khalayak sastera yang totok.

Penstriman dengan konsep popular media sosial akan membawa trafik awam ke stesen buku. Ini trafik baharu yang segar dan bakal menjadi pembeli.

Paling tidak, mendidik semula budaya mengenal buku pada era digital.

Penstriman dengan komunikasi aktif "streamer" dalam memperkenalkan buku akan menjajar semua minat pembelian dalam kalangan masyarakat awam.

TV penstriman akan menghapuskan konsep "jual buku hanya pada kaki buku".

Pembukaan trafik popular dengan pendekatan kreatif akan menjadikan Facebook TV berkonsepkan kandungan dan jualan buku boleh merentas khalayak awam.

Bukan lagi seputar "ulat buku".

Mudah cakap - berdasarkan pengalaman di Garasi TV lima bulan lalu, personaliti Sabri Yunus berjaya merentas 200,000 akses akaun Facebook melalui sesi penstriman berkongsi minat seninya.

Berdasarkan akses itu, lebih 50,000 menonton videonya.

Sesi kongsi minat buku, teater dan filem Sabri bersama Angelina Tan memecah rekod tontonan semasa tertinggi dan mencapai lebih 200 ribu jangkauan tontonan
Pyanhabib mencapai 50,000 akses jangkauan dan lebih 20,000 menonton sesi baca sajaknya minggu lalu.

Di Garasi TV, Pyanhabib menerima lebih 150 tempahan buku.

Harus diingat, 90 peratus daripada 70,000 pengikut Facebook Garasi TV ialah peminat tegar jeans; ini komuniti yang naif sastera.

Poster kredit capaian tontonan sesi Pyanhabib menerima hampir 1,000 'likes'.

Rashidi Abdullah berjaya menjual 150 buku "Aku Budak Buta" dalam 45 minit siaran pada November lalu. Bukan kerana dia buta; tetapi penggila jeans sukakan sajak-sajak yang dibacanya.


  Rashidi Abdullah memegang rekod jualan 157 buah buku dalam 45 minit di Garasi TV

Ketika Kelab Deklamator Kebangsaan muncul pada minggu lalu dengan trio Syukri Abdullah, Azmi Alias dan Amiruzati Noor Rahim berjaya menjual 41 buku "pengalaman deklamator".

Buku-buku ini langsung tiada kaitan dengan peminat ekstrim jeans.

Buku itu secara relatif tiada "nilai" bagi komuniti kolektor jean. Namun, buku sentiasa laku kerana penghargaan komuniti Garasi TV.

Bukti jelas boleh dibaca pada komen-komen ketika strim berlangsung. Ia menampakkan pengikut Garasi TV sangat kagum pada tema nasionalisme dalam sajak-sajak yang dibaca.


SUDAH DATANG PKP KEDUA

Kini PKP kali kedua bermula pada 13 Januari.

DBP, ITBM dan industri buku perlu memikirkan peluang kedua (peluang pertama pada PKP pertama 18 Mac 2020) untuk menyusur arus baharu.

Ingat! Ini bukan menongkah arus ya! Ia menyusur arus.

Atau, kekal saja gaya lama. Selesa "kerja dari rumah" dan buku dibiarkan mati dalam "gua".

Ini pandangan peribadi. Namun, hasil pengalaman dan pemerhatian yang terperinci.


Penulis merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain.

Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.