Sebanyak 8,380 panggilan diterima oleh Kementerian Kesihatan (KKM) setakat 18 Mei lalu membabitkan pelbagai isu termasuk tekanan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, masalah emosi mencatatkan peratusan tertinggi iaitu sebanyak 46.8 peratus daripada keseluruhan panggilan.

Masalah tersebut dikesan ekoran kebimbangan, kemarahan akibat pelbagai faktor sosial seperti masalah kewangan, tiada pendapatan serta berselisih faham dengan keluarga.

"Kedua adalah berkenaan isu wabak COVID-19 iaitu 20 peratus yang ada kebimbangan yang mana kita kena memberi kaunseling untuk mereka mandapat maklumat yan terkini.

“Jadi, kadang-kadang dia ada kebimbangan sebab maklumat tak tepat yang mereka terima.

“Ketiga ialah bantuan keperluan asas iaitu 6.9 peratus; keempat ialah masalah keganasan rumah tangga dan perhubungan iaitu 6 peratus; dan kelima ialah masalah psikiatri iaitu kemurungan dan juga keresahan (2.4 peratus) dan keenam penderaan kanak-kanak (2.02 peratus),” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Selasa.

Ditanya mengenai nasihat yang boleh diberikan, Dr Noor Hisham berkata, KKM sentiasa komited memberikan bantuan berdasarkan masalah yang dihadapi oleh individu-individu berkenaan.

“Kalau isu COVID-19, kita akan berikan penerangan yang tepat supaya mereka faham - apa yang boleh dilakukan dan dielakkan, dan paling penting kita perlu mematuhi SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata mereka yang mempunyai sebarang masalah dan aduan boleh berhubung dengan doktor dan kakitangan KKM bagi mendapatkan kaunseling secara dalam talian.